Wednesday, 21 August 2013

Tiga fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. & Tiga kepentingan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.


Kepentingan dan keperluan semua kaum haruslah sentiasa diutamakan dalam dasar pendidikan negara kita. Dengan keutamaan ini dalam dasar pendidikan negara kita, pihak kerajaan tidak membezakan soal pelajaran dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Awang (2006) menjelaskan bahawa “Bahasa Malayu telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera pada abad ke-16 dan ke-17”. Sistem pendidikan telah disediakan dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, kurikulum yang sama dan sukatan pelajaran yang seragam serta peperiksaan yang seragam.

Bahasa Melayu di Malaysia telah diperlihatkan fungsinya sebagai bahasa pengantar lama sebelum dijadikan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu di Malaysia menjadikan bahasa pengantar antara kaum yang berbeza-beza. Ia digunakan dalam perhubungan antara kaum terutama sekali orang-orang yang tidak mempunyai pendidikan sekolah Inggeris adalah Bahasa Melayu. Orang-orang yang mahu berhubung dengan orang lain dari kaum lain, yang tidak mempunyai pengetahuan Bahasa Inggeris, maka bahasa yang menjadi alat perantaraan adalah Bahasa Melayu. Antara orang-orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, alat komunikasinya adalah Bahasa Inggeris, tetapi jika salah satu pihak atau kesemua pihak tidak mengetahui Bahasa Inggeris, maka alat komunikasi antara kaum itu adalah Bahasa Melayu.
           
Fungsi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan telah dirumuskan oleh Akta Pendidikan 1961, lanjutan penegasan perundangan terhadapay Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat termasuklah pelajar-pelajar sekolah,  menegakkan persatuan antara kaum-kaum yang mendiami negara ini, menggalakkan pertubuhan satu corak kebudayaan yang meliputi semua aliran kebudayaan yang terdapat di dalamnya serta mewujudkan satu budaya, satu bangsa iaitu pembentukan budaya kebangsaan selaras dengan keinginan dan hasrat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai identiti keperibadian yang dapat dibanggakan dan penuh dengan kesetiaan kepada negara. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amatlah tepat, kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling kerap digunakan oleh kaum yang paling ramai, iaitu bangsa Melayu.

Sekian lama, Bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam P&P. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam Bahasa Melayu. Ratusan tesis dan disertasi pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran ditulis dalam Bahasa Melayu, dan puluhan, malahan ratusan, profesor telah menyampaikan syarahan perdana tentang pelbagai ilmu dalam Bahasa Melayu. Semua perkara ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, tetapi melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia.

Beberapa universiti di luar negara seperti di Britain, Amerika Syarikat, Russia, Thailand, Korea, China dan sebagainya menawarkan kursus major dan minor Bahasa Melayu kepada mahasiswa masing-masing. Kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan diperkukuhkan lagi dengan pembinaan kerusi-kerusi pengajian Melayu di luar negara dan juga pembinaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahasa Melayu kini berada di atas landasan sempurna sebagai bahasa pengantar pendidikan. Justeru, dapat kita merumuskan bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar dalam P&P di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Tidak syak lagi bahawa Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaan sebagai bahasa ilmu, bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Selain dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar, Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa rasmi. Maksud bahasa rasmi ialah bahasa utama yang digunakan dalam segala urusan pentadbiran dan acara rasmi. Sebagai contoh, Bahasa Melayu kerap kali digunakan dalam sistem pendidikan negara, termasuklah urusan surat menyurat, mesyuarat dan pentadbiran sekolah.

`           Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perpaduan di sekolah. Bahasa perpaduan bermaksud bahasa yang digunakan sebagai tali pengikat kemuafakatan antara anggota masyarakat, samaada dalam kalangan satu etnik mahupun antara etnik. Masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang berbeza kepercayaan, amalan, budaya, agama dan bahasa. Bahasa Melayu dapat memainkan peranan sebagai penyatu kepelbagaian tersebut melalui penggunaan bersama, atau satu bahasa untuk satu negara. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan Bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain. Apabila penggunaan bersama Bahasa Melayu di tempat terbuka sudah menjadi amalan, maka akan wujud rasa kemesraan, kepercayaan, hormat dan selamat. Rasa kemesraan, kepercayaan, hormat dan selamat merupakan antara faktor yang membina perpaduan antara kaum. Dengan itu, dapatlah kita melahirkan bangsa yang bersatupadu dan menganggap Malaysia sebagai negara milik bersama. Bahasa Melayu perlulah digunakan sejak kecil lagi dan amalan untuk berbahasa Bahasa Melayu haruslah bermula dengan sistem pendidikan.
           
Fungsi Bahasa Melayu lain adalah sebagai bahasa ilmu. Bahasa ilmu ialah bahasa komunikasi yang bermaksud bahasa sebagai alat penyebaran, penyampaian dan penerimaan maklumat. Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri keintektualan bahasa[1]. Bahasa melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu kerana mempunyai ciri-ciri kesempurnaan bahasa iaitu kestabilan seperti sistem pembentukan istilah atau konsep, dan peraturan seperti ejaan, sebutan, pemakaian, tatabahasa dan lain-lain lagi. Satu lagi ciri kesempurnaan bahasa ialah kelenturan, di mana Bahasa Melayu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran dan perubahan yang berlaku dari masa ke semasa.
            Bahasa Melayu penting digunakan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain, ia dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa harmoni antara kaum di negara ini. Akta Bahasa Kebangsaan – Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan pada tahun 1967. Akta ini memartabatkan[2] Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub[3] dalam perlembagaan dan menjadi jaminan kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Pada tahun 1982, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah dan menjadi bahasa yang digunakan di mahkamah pada tahun 1990. Akta ini mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga.[4] Bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah membantu dalam pemupukan perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk berkomunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Bahasa Melayu turut membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami dalam sistem pendidikan kebangsaan.
           
Di samping itu, Bahasa Melayu memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memenuhi keperluan manusia, tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan kaum sangat penting untuk menyumbang ke arah sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Selain itu, pendidikan dijadikan sebagai alat yang digunakan untuk perpaduan antara kaum jelas dinyatakan dalam Penyata Razak 1956. Oleh itu, apabila pendidikan dianggap sebagai alat secara automatiknya, Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa perpaduan boleh mengambil bahagian dalam isu menyatupadukan rakyat kerana Bahasa Melayu itu digunakan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam pelbagai bidang.
           
Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua france. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa. Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan akhir dasar pendidikan negara kita adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sisttem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Walaubagaimanapun, kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan Razak 1956 jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.
           
Bahasa sebagai medium penting dalam proses menyampaikan ilmu. Oleh sebab Malaysia mempunyai masyarakat berbilang bangsa, maka dasar pendidikan negara berusaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, samaada di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan membuktikan keupayaan Bahasa Melayu sebagai alat menyampaikan pelbagai ilmu untuk digunakan bagi memajukan diri, masyarakat dan negara. Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai alat komunikasi untuk memperoleh ilmu. Bahasa Melayu penting sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan kebangsaan supaya peradaban bangsa dapat dipelajari dan difahami. Dalam menyampaikan maklumat dan ilmu kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini, khususnya kepada pelajar-pelajar yang tinggal di luar bandar, sudah tentu bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang difahami ramai, iaitu Bahasa Melayu. Ini adalah penting kerana dalam usaha memajukan negara, kita tidak boleh meminggirkan rakyat yang tinggal di luar bandar. Secara tidak langsung mencerminkan ciri-ciri bangsa Malaysia yang menolak perkauman atau ketidakadilan dalam sistem pendidikan.
           
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi penting untuk dipelajari dalam sistem pendidikan kebangsaan supaya meningkatkan semangat nasionalisme dan di samping itu memupuk perpaduan di antara kaum-kaum yang berbilang di negara kita ini.

Penekanan dalam penggunaan Bahasa Melayu amat penting, bukan sahaja untuk tujuan pencarian ilmu pengetahuan, tetapi juga bagi memenuhi fungsi sosial dalam aktiviti kehidupan harian. Sesungguhnya kita semua sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam sebuah yang mempunyai pellbagai kaum seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi memartabatkan dan meningkatkan Bahasa Melayu. Kita tidak mahu Bahasa Melayu ditindas oleh bahasa-bahasa yang lain kerana bahasa melambangkan sesebuah bangsa. Seperti kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” dan itulah sebenarnya kita semua inginkan.

(1480 patah perkataan)



[1] Keintektualan bahasa – keupayaan bahasa dalam menyampaikan buah fikiran, hujah, pendapat dengan
                                         tepat dan dapat dilenturkan dengan mudah.
[2] memartabatkan - meningkatkan
[3] termaktub – telah ditulis atau dicatat, tertulis
[4] Pusat Maklumat  Rakyat (2007). Dasar-dasar kerajaan dalam membentuk perpaduan.

3 comments: