Wednesday, 21 August 2013

Menghuraikan konsep tatabahasa; dan menganalisis empat kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah.

Secara umumnya, tatabahasa Melayu mencakupi dua bidang, iaitu morfologi (mengkaji perkataan) dan sintaksis (mengkaji ayat). Asmah Hj. Omar (1993), menyatakan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan hubungan antara morfem-morfem dan varian morfem. John T. Jensen (1995), mendefinisikan morfologi sebagai kajian tentang struktur dalam perkataan. Kamus Linguistik (1997), menjelaskan morfologi ialah cabang tatabahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Abdullah Hassan (2005), mentakrifkan morfologi sebagai bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan , proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk perkataan yang dihasilkan. Istilah sintaksis berasal daripada perkataan Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan” dan tattein yang membawa erti “menempatkan bersama-sama”. Dengan demikian, sintaksis dapat diertikan sebagai “menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat”.

Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Akan tetapi, kami perlu juga mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep. Menurut Asmah Hj. Omar (1993),  morfem ialah unit nahu[1] yang terkecil yang mempunyai makna dan terletak pada tingkat paling bawah dalam skala tetingkat nahu. Maka, sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, kata-kata ini terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya “basuh”. “Basuh” tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada ba dan suh. Sebaliknya, kata “dibasuh” boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu “di” dan “basuh”. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Morfem boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem yang boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan morfem lain dan mempunyai makna yang lengkap dan sendiri. Morfem bebas tidak boleh lagi dipecahkan kepada bentuk yang lebih kecil. Sebagai contoh, perkataan “cuci” tidak boleh dipecahkan lagi menjadi cu dan ci. Contoh yang lain ialah kami, baca, tidur, senam dan sebagainya, semua perkataan ini boleh berdiri sendiri sebagai satu kata yang mempunyai makna yang lengkap. Morfem terikat pula ialah morfem yang tidak boleh berdiri sendiri sebagai kata tanpa bantuan morfem lain untuk berfungsi sebagai kata. Walaupun ia tidak mempunyai makna, akan tetapi ia mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Morfem terikat boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat. Pada amnya morfem terikat dalam Bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan. Menurut Farid M. Onn et al. (2000), morfem terikat boleh terbahagi kepada tiga jenis iaitu, morfem terikat satuan, morfem terikat terbahagi dan morfem terikat kompleks.

Seperti yang saya sebutkan pada permulaan, kami perlu juga mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Ini kerana kedua-dua adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep. Perkataan Bahasa Melayu terhasil melalui empat proses iaitu proses tunggal (kata tunggal), proses pengimbuhan (kata terbitan), proses pemajmukan (kata majmuk) dan proses penggandaan (kata ganda). Menurut Nik Safiah Karim et al.(2009), Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa di dunia yang tergolong ke dalam jenis bahasa aglutinatif atau bahasa yang bersifat derivatif. Jenis bahasa yang sedemikian membentuk kebanyakkan perkataannya melalui proses pengimbuhanan atau penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan secara rentatan mendatar. Selain menghasilkan perkataan melalui proses pengimbuhan, perkataan Bahasa Melayu juga boleh terhasil melalui proses pemajmukan dan penggandaan. Melalui proses pemajmukan, makna-makna baharu kata dapat dihasilkan khususnya bagi menjelaskansesuatu konsep. Misalnya, dua kata iaitu bilik dan mandi dapt menghasilkan satu konsep baharu iaitu bilik mandi. Melaui proses penggandaan pula, makna jamak atau banyak dapat dihasilkan bagi sesuatu perkataan.

            Melaui keempat-empat proses, perkataan Bahasa Melayu boleh digolongkan dalam beberapa golongan kata yang mempunyai persamaan yang tertentu, antara golongan yang besar ialah kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Golongan-golongan itu terdiri daripada dua kumpulan kata, iaitu kata isian dan kata tugas. “Kata isian” ialah kumpulan kata yang terbuka dan sentiasa berkembang. Kata nama, kata kerja dan kata adjektif ialah kata isian terbuka. “Kata tugas” pula  ialah kumpulan kata tertutup yang kehadirannya dalam ayat amat penting kerana tugas-tugas sintaksis. Kata tugas hadir dalam ayat, sama ada di bahagian hadapan ayat, di bahagian hadapan frasa, atau di belakang perkataan-perkataan tertentu untuk memberikan makna khusus atau memainkan sintaksis tertentu dalam ayat berkenaan.

            Sintaksis merupakan satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum-hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Secara umumnya, sesebuah ayat mestilah sekurang-kurangnya mempunyai satu subjek (pelaku) dan satu predikat (cerita). Subjek lazimnya adalah perkara yang diceritakan yang terdiri daripada orang, benda, tempat atau perkara. Unsur-unsur subjek juga boleh terdiri daripada frasa nama, kata ganti nama, frasa kerja yang berkuasa nama dan frasa adjektif yang berkuasa nama. Predikat pula merujuk kepada kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek. Oleh itu, predikat merupakan bahagian ayat yang menceritakan perkara tentang orang, benda, tempat atau perkara yang dinyatakan dalam subjek. Predikat terdiri daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi (FS).

            Bahasa Melayu mempunyai pelbagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama. Ciri-ciri ini menyebabkan Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sentiasa hidup serta menarik. Jenis-jenis ayat Bahasa Melayu dapat digolongan kepada empat ragam[2], iaitu ayat penyata (ayat transitif dan ayat tak transitif, ayat aktif dan ayat pasif, ayat sungsang, ayat nafi serta ayat inti dan ayat gabungan), ayat perintah, ayat tanya dan ayat seru. Frasa pula ialah urutan penempatan jenis kata dalam ayat. Binaan frasa terdiri daripada sekurang-kurangnya satu perkataan yang berpotensi diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih. Frasa tidak boleh dipecahkan kepada subjek dan predikat.
            Seperti yang diterangkan di atas, ada empat jenis frasa iaitu FN, FK, FA dan FS. Menurut binaannya. Frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu frasa endosentrik dan frasa eksosentrik. Frasa endosentrik ialah frasa yang mengandungi satu unsur inti[3]. Unsur inti ini mewakili seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini ialah FN, FK dan FS. Ini kerana kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu. Manakala frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama yang tidak mempunyai unsur inti, contohnya ke pasar dan di bilik. Kewujudan sendi nama di bergantung pada bilik dan ke kepada pasar. Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik keranan pusat bergantung pada suatu unsur luaran.

             Setelah kami meneliti konsep tatabahasa, dapatilah tatabahasa memaparkan peraturan berbahasa yang bersistem. Memandangkan tatabahasa itu penting, tanggungjawab guru untuk membimbing murid dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu yang betul adalah mustahak. Kesalahan-kesalahan penggunaan tatabahasa oleh murid di dalam bilik darjah terutamanya dalam penulisan Bahasa Melayu seperti pengimbuhan, kata nama, kata hubung, tanda baca, kata ganti diri, kata arah dan sebagainya sering berlaku.

Setelah meneliti karangan murid Tahun 4 dan Tahun 5, saya dapati kesalahan tatabahasa yang paling kerap berlaku adalah pengimbuhan. Pengimbuhan ialah proses pembentukan kata, menambahkan imbuhan pada sesuatu perkataan. Imbuhan bertugas untuk membentuk kata terbitan, mengubah golongan kata, dan mencipta perkataan baru. Imbuhan terdapat empat jenis, iaitu imbuhan awalan, imbuhan akhiran, imbuhan apitan, dan imbuhan pinjaman. Imbuhan awalan ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian depan kata dasar, dan ia bukan hanya menambah begitu sahaja, ia mempunyai hukum-hukum tersendiri. Hukum-hukum sedemikianlah yang murid kerap malakukan kekeliruan. Imbuhan men- akan menukar menjadi varian meng- apabila diimbuhkan dengan perkataan yang dimulai dengan huruf  “a”, “g” dan “h”. Rujuk Lampiran 1, 4, 6 dan 7 (perkataan yang salah telah diwarnakan dengan warna kuning) menunjukkan murid berkenaan melakukan kesalahan varian. Bagi imbuhan akhiran pula, imbuhan akhiran -kan juga membentuk satu varian sahaja iaitu -kan. Murid sering lupa akan fungsi -kan, mereka menulis karangan dengan kata dasar sahaja, kesalahan ini juga berlaku pada imbuhan apitan dan imbuhan awalan (Rujuk Lampiran 1, 2, 3, 4, 5, 6 dan 7).

Kesalahan tatabahasa yang seterusnya ialah kata nama. Kata nama digunakan untuk menyebut nama orang, benda, haiwan, dan tumbuhan. Kata nama terbahagi kepada tiga subgolongan, iaitu kata nama am, kata nama khas, dan kata ganti nama. Kata nama am ditulis dengan menggunakan huruf kecil kecuali pada permulaan ayat. Manakala kata nama khas ditulis dengan menggunakan huruf besar pada huruf awal perkataan. Rujuk Lampiran 2, 3, 4, dan 5 (perkataan yang salah telah diwarnakan dengan warna merah jambu), murid timbul kekeliruan ke atas kata nama am dan kata nama khas, mereka tidak dapat memastikan jenis kata nama tersebut, maka mereka melakukan kesilapan terlupa menulis huruf besar pada awal huruf kata nama khas, ataupun sebaliknya. Rujuk Lampiran 1 dan 7 (perkataan yang salah telah diwarnakan warna hijau), murid menggunakan kata ganti nama diri yang tidak sesuai.

Kesalahan tatabahasa yang ketiga ialah tanda baca. Tanda baca merujuk lambang-lambang khas yang digunakan dalam tulisan dan mempunyai fungsi tertentu. Tanda baca digunakan untuk menyatakan isyarat kepada pembaca semasa membaca sesuatu ayat atau teks. Ayat tanpa tanda baca memang sukar dibaca apatah lagi untuk memahaminya. Oleh itu, penggunaan tanda baca sangat penting bagi memahami sebutan, intonasi, situasi, dan maksud ayat. Terdapat lebih daripada 10 jenis tanda baca, kesalahan penggunaan tanda baca yang sering dilakukan oleh murid SJKC adalah koma (,). Dalam penggunaan tanda baca bagi Bahasa Cina, tanda baca yang memisahkan unsur-unsur dalam ayat adalah “”, akan tetapi bagi sistem tatabahasa Bahasa Melayu, tanda baca yang betul adalah koma. Rujuk Lampiran 5 (perkataan yang salah telah dibulatkan dengan warna coklat), murid berkenaan melakukan kesalahan koma dan juga huruf besar (Rujuk Lampiran 3 dan 4). Selain itu, tanda noktah (.) untuk akhir sesuatu ayat juga telah salah menandakan koma (Rujuk Lampiran 2 dan 5).

Kesalahan tatabahasa keempat ialah kata sendi nama. Kata sendi nama ialah perkataan yang digunakan untuk menghubungkan frasa nama dengan kata-kata yang lain dalam ayat. Kata sendi nama lazimnya terletak di hadapan frasa nama. Ada dua bentuk kata sendi nama, iaitu kata sendi nama tunggal dan kata sendi nama berpasangan. Kesalahan yang murid melakukan adalah kata sendi nama tunggal. Rujuk Lampiran 1, 4 dan 7 (perkataan yang salah telah diwarnakan dengan warna orange), murid timbul kekeliruan bagi perkataan pada dan kepada, dari dan daripada, ke dituliskan di atau dalam. Selain itu, kata arah yang menunjukkan kedudukan sesuatu tempat atau benda juga sering menimbul kesalahan tatabahasa, Rujuk Lampiran 5 (perkataan yang salah telah diwarnakan dengan warna biru) murid tidak dapat membezakan perkataan kata arah di dan dalam.

Kesalahan tatabahasa yang seterusnya ialah kata hampir sama makna. Kata hampir sama makna ialah kelompok perkataan yang hampir sama maksudnya tetapi berbeza sedikit konteks penggunaannya. Rujuk Lampiran 1, 2, 5, 6 dan 7 (perkataan yang salah telah dibulatkan dengan warna merah),  murid telah silap menggunakan kata yang membawa maksud yang hampir sama, seperti menghubungi → memanggil, pemain → peserta, bersurai → pulang, nampak → lihat, dan lain-lain lagi. Kesalahan tatabahasa yang terakhir adalah kata hubung. Kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa, ayat dengan ayat untuk membentuk ayat majmuk. Rujuk Lampiran 6 (perkataan yang salah telah dibulatkan dengan warna hijau), murid berkenaan menggunakan “dan” sebagai kata hubung dalam ayat tersebut, akan tetpi kata hubung yang sesuai adalah “lalu”.

Kesimpulannya, murid haruslah memahamai pentafsiran kata, serta penggunaan dalam kepelbagaian konteks bagi meningkatkan keterampilan berbahasa dengan tatabahasa yang betul dalam Bahasa Melayu, serta meningkaatkan kualiti hasil penulisan diri sendiri.
(1816 patah perkataan)



Bibliogrfi
 Abdullah Hassan. (2007). Morfologi. Bentong: PTS Profesional.

Asman Haji Omar. (2009). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Farid M. Onn et al. (2000). Morfologi dan sintaksis. Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh
UKM.

Haji Razali Yahya. (2011). Teman Pelajar Cemerlang: Sistem Bahasa. Selangor:
Cemerlang Publications Sdn. Bhd..

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Haji Karim et al. (2009). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Roslina Bt. Bowah. (2012). Star Gemilang SJKC Study Guide: Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Gemilang Publishing Sdn. Bhd..

Siri Juara: Bahasa Malaysia. (2011). Kuala Lumpur: Percetakan Tatt Sdn. Bhd..

Tatabahasa Bahasa Malaysia. (2012).  Kuala Lumpur: Percetakan Tatt Sdn. Bhd..




[1] nahu – tatabahasa, hokum-hukum berkenaan dengan kata-kata dan bentuk sesuatu bahasa.
[2] ragam – jenis, macam
[3] inti – bahagian yang terpenting dari sesuatu, isi yang mustahak atau terutama

No comments:

Post a Comment