Wednesday, 21 August 2013

Jelaskan sumbangan Dato’ Onn Jaafar dalam Proses kemerdekaan negara kita.

Dari dahulu lagi, Dato’ Onn jaafar hanya diiktiraf sebagai tokoh yang berjasa kepada negara kerana mengasaskan penubuhan UMNO dan menjadi Yang Dipertua Pertama dari 1946 – 1951. Beliau berjasa menentang dan membubarkan Malayan Union (MU). Sumbangan Dato’ Onn Jaafar dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Kemerdekaan hari ini yang tercapai pada 31 Ogos 1957 meskipun tidak dianggap sebagai buah tangan Dato’ Onn Jaafar, tetapi sebenarnya ia adalah merupakan hasil asas yang dibinanya.

            Catatan sejarah adalah sumber yang tidak bias kepada mana-mana pihak. Persepsi dan pandangan adalah mengikut tahap pemikiran dan keadaan semasa. Sehubungan itu, adalah baik sekali saya memperkenalkan Dato’ Onn Jaafar mengikut biografi ringkas beliau, supaya kami semua mendapat input dan menilai sendiri ketokohan Dato’ Onn Jaafar dan sumbangannya dalam proses kemerdekaan negara kami.

            Dato’ Onn dilahirkan di rumah bapanya yang terdapat di Bukit Gambir, Johor Bahru pada tahun 1895. Bapanya, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad ialah Menteri Besar Johor yang pertama pada ketika itu. Ibunya, Cik Rugayah Hanim adalah dari keturunan bangsawan Turki yang terpelihara di Istana Harem. Ibunya adalah keluarga bangsawan Turki yang dinikahkan atas perkenan dan restu Sultan Turki sebagai tanda persaudaraan dengan Maharaja Abu Bakar ketika baginda melawat Turki pada tahun 1887.

            Sejak kecil Dato’ Onn bebas di istana, malah rumahnya sendiri di Bukit Gambir seperti rumah ke-2. Ini adalah kerana beliau menjadi anak angkat oleh Sultan
Ibrahim pada tahun 1901. Dato’ Onn sangat rapat dengan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail yang sebaya dengan beliau. Dato’ Onn bebas melakukan aktiviti sendiri atau bersama-sama putera-putera Sulatan di kebun istana. Sejaka kecil. Ketokohan beliau telah terserlah, ini dapat dilihat dari beliau menjadi ketua di kalangan sebaya meskipun mereka ialah putera-putera raja.

            Dato’ Jaafar sendiri mengajar Dato’ Onn akhlak dan agama serta adab budaya Melayu, tetapi pelajaran formalnya (semenjak berusia 4 tahun) adalah mempelajari Bahasa Inggeris bersama-sama dengan putera-putera Sultan yang lain. Terdapat 2 orang guru perempuan berbangsa Inggeris yang didatang khas untuuk tujuan mengajar mereka Bahasa Inggeris. Guru berbangsa Inggeris juga bertindak sebagai pengasuh kepada putera-putera raja mengenai adab dan budaya Inggeris. Ibunya, Cik Rugayah Hanim meninggal dunia pada tahun 1902.

            Pada tahun 1903, Dato’ Onn belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England bersama-sama dengan putera-putera raja. Beliau amat rapat dengan Tengku Mahkota dan dianggap guardian atau pasangan dan teman penjaga kepada baginda. Di England, mereka bersekolah di sekolah khas untuk anak bangsawan Inggeris. Semua pembiayaan persekolah ditanggung oleh Sultan Johor.

            Dato’ Onn adalah seorang yang aktif disamping bertindak seolah-olah orang yang bertanggungjawab terhadap Tengku Mahkota. Ini adalah berikutan dari nasihat dan pesanan bapa dan juga pembesar Johor. Mereka jarang berpisah, di mana Tengku Mahkota berada, di situlah Dato’ Onn. Keadaan ini amat tidak disenangi oleh pihak Inggeris, kerana mereka mempunyai agenda memberi keistimewaan kepada Tengku Mahkota, tetapi tidak kepada Dato’ Onn.

            Daripada pemerhatian pihak Inggeris, Dato’ Onn adalah kanak-kanak pintar yang perlu dipisahkan daripada Tengku Mahkota, kerana Dato’ Onn berupaya mempengaruhi Tengku Mahkota alam segala bidang. Sehubungan itu, Dato’ Onn dilaporkan tidak layak diberi kemudahan pelajaran dan tidak dibenarkan melanjutkan pelajaran yang dikhususkan kepada anak-anak bangsawan.

            Pada 25 Mac 1910, Dato’ Onn dihantar pulang dengan perawakan Barat. Beliau telah dimarahi oleh bapanya, Dato’ Jaafar kerana dianggap sebagai remaja nakal yang tidak menghormati guru Inggerisnya dan kebudayaan di sana. Kemudian, Dato’ Onn dihantar oleh bapanya melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) agar “diMelayukan”. Beliau telah diletakkan di bawah pengawasan seorang guru khas mengjar Jawi dan adat kebudayaan Melayu. Dato’ Onn sangat disenangi ramai, malah beliau sendiri telah mengajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak bangsawan Melayu dan kepada guru Jawi beliau.
           
            Dengan ketiadaan Dato’ Onn, Tengku Mahkota Johor pun enggan meneruskan pelajarannya di England. Baginda pulang ke Tanah Melayu dan meneruskan pelajarannya di MCKK juga. Bginda sangat kasih kepada Dato’ Onn lebh dari seorang teman atau kawan. Di MCKK, Dato’ Onn dianggap seorang remaja Melayu yang kurang beretika kebangsawanan oleh teman-teman yang berdarah raja, kerana beliau berani bercampurgaul dengan anak-anak pembesar dari kelas bawahan. Hal ini tidak disenangi oleh Inggeris, mereka telah melaporkan kepada kerajaan negeri Johor, bahawa Dato’ Onn telah bersedia berkhidmat, supaya Dato’ Onn tidak lama di MCKK.

             Pada tahun 1912, Dato’ Onn telah pulang ke Johor. Sebaik saja sampai, beliau telah dilantik menjadi kerani rendah sementara di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor. Beberapa bulan kemudian, beliau telah berkahwin kali pertama dengan Cik Rafaeh bt Abdullah (gadis Cina, anak angkat bapanya). Mereka mendapat 4 orang anak, dan kemudiaan isterinya meninggal dunia. Ketika berusia 18 tahun, beliau diwajibkan menyertai Askar Timbalan Setia. Jiwanya terasa tertekan kerana terasa dikongkong oleh peraturan dan disiplin tentera.

            Pada tahun 1915, Dato’ Onn berkahwin kali ke-2 dengan Cik Che Jamilah dan mendapat anak yang bernama Ismail bin Onn. Setelah isteri ke-2 meninggal dunia, Dato’ Onn berkahwin kali ke-3 dengan Cik Che Kah. Cik Che Kah adalah seorang pelakon bangsawan. Pada tahun 1917, Dato’ Onn menyertai Pasukan Tentera Johor (JMF) dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura. Di markas JMF, beliau memegang pangkat sebagai Leftenan.

            Pada tahun 1919, Dato’ Onn berkahwin kali ke-4 dengan Cik Halimah Hussein, janda adiknya. Mereka mendapat 3 orang anak termasuk Tun Hussein Onn. Pada tahun yang sama, ayahanda beliau, Dato’ Jaafar meninggal dunia. Ini memberi kesan psikologi yang amat dalam kepada Dato’ Onn. Beliau sangat sedar bahawa bapanya ialah seorang bangsawan Melayu yang berjiwa sangat mengambil berat tentang rakyat. Bapanya sangat menitikberatkan kebajikan orang Melayu.

            Pada 31 Jun 1920, Dato’ Onn telah mengkritik terang-terangan bapa angkat beliau iaitu Sultan Johor, kerana merampas kediaman bapanya dan keluarganya diarah pindah kerana Sultan memiliki negarakan semua harta Dato’ Jaafar. Akibatnya, beliau dipecat dari pangkatnya dan diberhentikan dari menjadi Askar Timbalan Setia. Dengan adanya rekomen Tengku Mahkota Johor iaitu Tengku Ismail, pada tahun 1922, Dato’ Onn diterima bekerja di Pejabat Tanah Muar sebagai Penolong Pegawai Rendah Pemungut Hasil. Pada tahun 1923, beliau telah naik pangkat sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar ddengan gaji RM 1440.00 setahun.

            Sekitar tahun 1926, Dato’ Onn dipindahkan ke Pejabat Pemungut Hasil di Batu Pahat dengan jawatan dan tugas yang sama. Ketika di situ, sekali lagi beliau memberi kritikan terbuka ayahanda angkatnya iaitu Sultan Johor. Ia ada kaitan dengan tuntutan elaun sara hidup beliau yang tidak dilayan oleh Sultan berbanding sara hidup pegawai Inggeris yang cepat dinaikkan. Tambahan lagi Pegawai British telah menahan elaun RM 200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan untuknya, sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.

            Akibat dari itu, Dato’ Onn telah dipecat pada tahun 1928 dan dibuang negeri ke Singapura. Pada waktu yang sama, abangnya Dato Abdullah Jaafar yang sedang menjadi Menteri Besar Johor juga diberhentikan daripada jawatannya. Mereka telah tinggal bersama-sama di Singapura. Untuk menyara hidup, Dato’ Onn telah menyewa sebuah rumah setinggan dan bekerja sebagai nelayan. Jika tidak ke laut, beliau akan menghabiskan waktu denga menonton wayang Cina, opera bangsawan Melayu ataupun menumpang baca berita-berita yang dijual dan dicetak oleh syarikat cetak milik saudagar Arab.

            Kerana minat dan kebolehan beliau, Dato’ Onn diberi kepercayaan menyumbangkan rencana dan akhirnya diterima menjadi penulis di Syarikat Percetakan Akhbar Singapura. Beliau menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk mencurahkan isi hati dan ketidakpuasan dirinya terhadap Sultan Johor. Beliau menganggap Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim suka membazir dan tidak mempedulikan nasib rakyat jelata. Sultan Johor memperalatkan JMF sebagai buruh paksa, seperti membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan juga Pasir Pelangi.

            Kelancangan dan keberanian beliau mendapat liputan meluas dari akhbar-akhbar lain. Dato’ Onn mula dikenali dan popular dengan cepat. Penulisan Dato’ Onn sering berkisar dalam istana Sultan Johor. Kepincangan gaya hidup dan keborosan putera-putera Sultan menjadi isu besar, manakala pada waktu yang sama kesedaran terhadap keadilan dalam layanan terhadap pegawai Inggeris dan kakitangan awan yang tidak selaras dan adil, apabila berbanding dengan pegawai Inggeris dan bangsa asing. Hakikat ini amat tidak disenangi oleh orang-orang Melayu.

            Pada awal tahun1930-an, kesedaran kepada pelajaran dan minat pembacaan mula berkembang subur. Berita-berita dunia mulai masuk dengan mudah dan berita sensasi peperangan di Eropah mula mendapat perhatian. Angkatan Muda menggunakan flatfom akhbar dan berita untuk mempengaruhi masyarakat Melayu. Fahaman Angkatan Muda telah menguar-uarkan perjuangan kebebasan mentadbir dan memerintah sendiri. Ini dilakukan kerana terhasil daripada kesedaran dari keadaan Negara Turki yang telah dikongkong oleh kuasa barat apabila Empayar Othmaniah ditamatkan di awal 1920-an.

            Pengaruh dan dasar baru kerajaan Turki yang memperkenalkan sistem skular dan moden telah mematikan kebudayaan Islam. Dengan perjuangan dan mesej yang dibawa oleh mereka ke sebelah Timur, mereka telah menguar-uarkan semangat perjuangan dan kemerdekaan melalui pendidikan moden. Dato’ Onn berasa dirinya bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu. Beliau telah mengambil peluang ini dengan sepenuh tenaga dan menulis di dada akhbar. Isu-isu yang ditulisnya sangat relevan, dan usaha beliau telah menjadikan akhbar yang dipertanggungjawabkan kepadanya, iaitu Akhbar Warta dan Warta Negara begitu laris dan terkenal.

            Jualan akhbarnya mendapat sambutan sehingga beliau mampu mengurus dan menerbit akhbarnya sendiri. Beliau telah menulis banyak kepincangan dan kelemahan orang Melayu disertai dengan cara-cara mengatasinya. Beliau juga mendedahkan intitusi raja dan cendikiawan Melayu yang berpendidikan Inggeris. Mereka telah lupa kepada tanggungjawab untuk menjaga maruah diri dan maruah bangsa. Dato’ Onn sering mengritik sikap pegawai-pegawai Melayu yang telah “dibrain wash” oleh Inggeris hingga kadang-kadang menjadi lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri.

            Dato’ Onn telah berjaya memberi kesedaran kepada mereka, kerana Dato’ Onn sendiri adalah daripada kalangan bangsawan di istana. Beliau gigih memperjuangkan hak bangsa Melayu yang dianggap sebagai perjuangan sejagat. Dato’ Onn berjaya meluahkan perasaannya selari dengan kenyataan keadaan sosial ketika itu. Beliau juga berjaya mencuit hati para pembaca kerana beliau menilik diri beliau sendiri dengan semangat Melayu yang tulin.

             Pengalaman ketika berkhidmat sebagai pegawai awam negeri Johor, ketika menjadi Askar Timbalan Setia dan ketika beliau menghadapi kesukaran hidup menjadi golongan marhein sebagai nelayan dan menyewa di rumah setinggan di Singapura telah menjadi modal tidak dinilai dalam penulisannya. Beliau sungguh sensitif dengan kedaifan bangsa beliau. Bangsa Melayu, di Tanah Melayu yang dianggap sebagai negara milik dan warisan datu nenek moyang. Di satu pihal lain, beliau melihat golongan bangsawan dan pembesar negeri terus leka dibuai oleh pengaruh kecerdikan Inggeris. Sehingga Inggeris terus mengaut hasil yang tidak terhitung banyaknya dari bumi Melayu.

            Pada tahun 1935, Dato’ Onn telah menerbitkan Selamat Johor sempana Hari Kemahkotaan Sultan Johor ke-40. Beliau telah memuatkan berita-berita istana yang positif. Beliau berharap kematangan Sultan Johor memerintah ke arah pembaikan. Terbitan Selamat Johor yang diterbitkan oleh beliau sangat popular dan mendapat pesanan di luar jangkaan. Beliau menjadi bertambah popular. Tengku Mahkota Ismailm mengambil kesempatan ini menyarankan ayahanda baginda memberi pengampunan kepada Dato’ Onn, keran jasanya mengangkat kebajikan yang dilakukan oleh Sultan Ibrahim.

            Sultan Johor berasa sukacita dan menganggap Dato’ Onn telah berjasa kepada baginda dan negeri Johor. Sehubungan itu, Baginda Sultan Johor berkenan memberi keampunan kepada Dato’ Onn. Baginda telah mengundang beliau dan keluarga balik dan berkhidmat di Johor. Dato’ Onn pernah menyandang banyak jawatan dan antaranya, beliau pernah menjadi editor Warta Ahad. Jawatan ini telah menyebabkan beliau mula berjinak-jinak dengan politik dan secara tidak langsung terlibat dalam perjuangan hak bangsa Melayu.

            Pada tahun 1938, Dato’ Onn telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Persetujuan beliau untuk berkhidmat dengan Sultan Johor dengan bersyarat supaya pandangan beliau tidak disekat, kecuali pandangan yang merugikan rakyat. Justeru, beliau telah diberi jaminan. Sultan dinasihati supaya menganugerahkan jawatan yang penting dan tinggi kepada Dato’ Onn, sebelum beliau dilamar oleh Singapura, negeri-negeri Melayu atau Inggeris. Sultan Johor memperkenan lebih-lebih lagi Tengku Mahkota yang sering memangku Sultan juga berkeras menginginkan reman setiia dan karibnya berkhidmat di Johor.

            Ketika Dato’ Onn menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, cadangan beliau telah diterima. Cadangan pertama “Sultan Ibrahim Scholarship”, iaitu mewujudkan biasiswa pelajaran kepada pelajar-pelajar Melayu yang berkelayakan. Biasiswa tersebut merupakan biasiswa yang pertama diwujudkan di negeri Johor dan Semenanjung Tanah Melayu. Cadangan ke-2, pemberian tambang penerbangan percuma untuk menunaikan Haji bagi kakitangan beragama Islam yang berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Johor. Dato’ Onn juga menggesa agar pendidikan kepada kaum wanita juga ditingkatkan. Disamping itu, pelajaran agama juga tiidak diabaikannya.

            Ketika zaman penjajahan Jepun (1942-1945), Dato’ Onn telah diberi kepercayaan oleh Pentadbiran Tentera Jepun, iaitu menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor. Beliau telah mengagihkan beras mengikut arahan dan kuasa yang telah diberikan. Tetapi di dalam senyap dan rahsia, beliau juga membantu memberi bekalan makanan kepada pergerakan kiri yang anti Jepun. Beliau mempunyai hubungan baik dengan Ibrahim Yakob, Ahmad Boestaman dan juga MPAJA[1].

            Kepimpinan Dato’ Onn terserlah apabila dilantik khas menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat (1945-1946). Tugas utama beliau ialah menghentikan persengketaan kuam antara orang Melayu dengan orang Cina. Ketika zaman Penjajahan Jepun, majoriti orang Cina Batu Pahat telah menyertai MPAJA kerana penindasan tentera Jepun terhadap orang Cina. Tetapi setelah tentera Jepun menyerah, mereka menjadi komunis dan zalim serta menganiaya orang Melayu. Maka orang Melayu pun bersatu dan menubuhkan tentera Selimpang Merah untuk membalas serangan-serangan orang Cina.

            Dalam masa yang singkat, beribu orang Cina terbunuh, saudagar Cina dari Batu Pahat pun melaporkan hal ini kepada Sultan Johor dan meminta bantuan daripada baginda. Dato’ Onn dititah menyelesaikan persengkatan ini. Kumpulan Selimpang Merah yang diketuai oleh Kiai Salleh berjaya dipujuk oleh Dato’ Onn agar menghentikan serangan dan berdamai.

            Sejak dari kecil, Dato’ Onn terasa beliau dihalang untuk mendamping dengan putera-putera Sultan oleh pegawai Inggeris. Semasa melanjutkan pelajaran di England juga begitu, beliau tidak dibenarkan meneruskan pelajaran bukan disebabkan lemah, tetapi dikuatiri beliau akan mempengaruhi anak-anak raja dan juga orang Melayu. Apa yang tersirat ketika itu, kini menjadi nyata di depan mata dan fikiran beliau. Memang benar, jika Dato’ Onn diberi pendidikan tinggi dan pengetahuan, tentunya membahayakan Inggeris, kerana Dato’ Onn berpotensi menjadi pemimpin Melayu Moden.

            Ramalan Inggeris kini menjadi kenyataan apabila Dato’ Onn mengetuai orang-orang Melayu menentang MU. Alam kewartawan banyak mengajar dan memberi input kepada beliau. Tambahan pula beliau sendiri mempunyai latar belakang keluarga yang baik. Ini memberi keyakinan diri yang tinggi kepada jiwa dan semangat beliau. Beliau dapat menhayati dan menganalisis keadaan semasa dan agenda Inggeris daripada pengalamannya. Beliau berjaya membaca strategi Inggeris yang bersifat penjajah.

Ketika Inggeris kembali ke Tanah Melayu setelah Jepun menyerah, MU telah ditubuhkan pada tahun 1946. Penubuhan MU telah membangkit kemarahan orang Melayu. Ini adalah kerana MU adalah salah satu cara yang digunu oleh British untuk mengambil alih kuasa Sultan dan melenyapkan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu (kertas putih 6274 yang diluluskan oleh House of Lords dan disiarkan Utusan Melayu, 24 Januari 1946).

Dato’ Onn segera menubuhkan Kongres Malayu Se Malaya untuk menyatukan orang Melayu bagi menentang MU dan menghalang pencabulan Inggeris. Beliau juga berjaya memujuk raja-raja Melayu memulaukan upacara pelantikan Sir Edward Gent. Pada 1 Mac hingga 3 Mac 1946, Kongres ini telah diadakan dan dicapai dalam Kongres tersebut ialah memulaukan MU dan berkabung selam 7 hari dengan mamaki songkok yang berjalur putih.

             Disebabkan Dato’ Onn amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, Kongres ini telah melantik beliau sebagai Presiden Pertama. Langkah pertama yang Dato’ Onn mulakan untuk menyatupadukan orang Melayu adalah menubuhkan UMNO[2].  Pada 11 Mei 1946, dengan rasminya UMNO ditubuhkan di Istana Besar, Johor Bahru. Dato’ Onn telah dilantik menjadi Yang Dipertua iaitu Presiden UMNO. Beliau juga dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946.

Melalui UMNO, di bawah kepimpinan Dato’ Onn, beliau telah menyusun strategi dan aktiviti menentang MU sehingga Inggeris terpaksa membubarkannya pada 1 Februari 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutun Tanah Melayu mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa orang Melayu. Kemudiannya, beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor supaya dapat menumpukan kepada UMNO.

Dato’ Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian UMNO dibuka kepada semua bangsa bagi mengatasi masalah perkauman dalam politik, dan nama UMNO ditukar menjadi “Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Mealayu Bersatu”. Tetapi cadangan ini telah dibantah oleh ahli UMNO. Maka, Dato’ Onn dengan secara sukarela meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung ke-6 pada 25 dan 26 Ogos 1951.

Pada 16 September 1951 menubuhkan Independent Malayan Party (IMP), pejuangan politik tanpa kaum dan keturunan. Malangnya, IMP menempa kegagalan dalam Pilihanraya Bandaran Kuala Lumpur 1952, keran tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Kemudian Dato’ Onn menubuhkan Parti Negara (PN) pada Februari 1954 untuk mengganti IMP. Tujuan penubuhan PN adalah untuk bertanding  dalam Pilihanraya Umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955.

PN gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihanraya Umum pertama 1955. Namun begitu, Dato’ Onn masih berusaha untuk mendapat tempat dalam politik. Akhirnya, pada Pilihanraya Umum 1959, PN berjaya meraih satu kerusi di Kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri dengan bantuan Parti PAS[3]. Dato’ Onn menjadi “Ketua Pembangkang” dalam Dewan Rakyat dengan kemenangan ulung PN.

Dato’ Onn membawa konsep “bekerja sama” dalam perjuangan politik dengan bukan Melayu seawal 1951, walaupun tidak diterima oleh ahli-ahli UMNO pada masa itu. Tetapi idea “bekerja sama” yang dipelupuri beliau ini akhirnya dilaksanakan oleh pengganti beliau Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Apabila UMNO berkerjasama dan kemudian “berkongsi kuasa” ini dengan MCA[4] dan MCI[5] di bawah panji Parti Perikatan. Kejayaan “berkongsi kuasa” ini menhasilkan mandat besar bagi Parti Perikatan pada Pilihanraya Umum 1955, dan Tunku Abdul Rahman menggunakan ini sebagai “senjata utama” dalam rundingan kemerdekaan dan ianya menunjikkan hasil pada 31 Ogos 1957.

Dato’ Onn meninggal dunia pada 19 Januari 1962, dan kebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor. Beliau merupakan anak Melayu Johor dari keturunan bangsawan. Keluarga beliau merupakan antara keluarga paling berpengaruh di Johor. Semenjak lewat abad ke-19 dan sehingga ke hari ini. Ayahanda beliau, Dato’Jaafar (1838-1919) merupakan Menteri Besar Johor pertama dan pengasas sistem pentadbiran kerajaan Johor, seperti mana yang wujud sehingga hari ini. Anakanda beliau, Tun Hussein Onn (1922-1990) mengikut jejak langkahnya untuk aktif dalam politik, dan akhirnya menjadi Presiden UMNO ke-4 dan Perdana Menteri Malaysia ke-3 (Januari 1976-Julai 1981).

Laungan perjuangan HIDUP MELAYU yang dicetuskan oleh Dato’ Onn tidak sekadar slogan tetapi terhimpin dengan perjuangan bangsa Melayu, membela kedudukan Raja-raja Melayu, agama, bahasa, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan hak-hak istomewa orang Melayu. Warisan perjuangannya menjadi teras sebagai paksi yang menentukan arah serta hala tuju perjuangan bangsa Melayu.





Bibliografi

Mohamad Idris Saleh (1994). Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publicaton Distribution Sdn. Bhd..

Nazaruddin Mohd. Jadi (1992). Kenegaraan Malaysia: Sejarah Awal, Kemerdekaan dan Pembentukan Malaysia. Subang : Kumpulan Buduman Sdn. Bhd..

Ramlah Adam (1993). Dato’ Onn Jaafar – Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

R. S. Milne (1992. Sejarah Politik dan Kerajaan Di Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.






         




[1] MPAJA : Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (Malayan People’ Anti-Japanese Army)
[2] UMNO : Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malay National Organisation)
[3] PAS : Parti Islam Se-Malaysia (Pan-Malaysian Islamic Party)
[4] MCA : Persatuan Cina Malaysia (Malaysian Chinese Associotion)
[5] MIC : Kongres India Malaysia (Malaysian Indian Congress)

1 comment: