Wednesday, 21 August 2013

Esei lmiah (Model ASSURE)


Guru perlu merancang, memilih dan menilai media pengajaran semasa reka bentuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) bilik darjah. Terdapat beberapa model yang sesuai guru boleh mengaplikasikannya semasa melaksanakan tugas ini. Pengajaran yang terancang rapi akan menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Lebih-lebih lagi pengajaran yang berasaskan media, ia memerlukan perancangan yang rapi dan tersusun. Pembelajaran berlaku sebagai satu proses yang berkembang secara berperingkat. Justeru itu, penyampaian pengajaran perlulah disusun secara berperingkat-peringkat. Peringkat-peringkat berkenaan adalah seperti berikut:
i)              Menarik perhatian pelajar.
ii)             Objektif pembelajaran diberitahu.
iii)            Cungkil dan kaitkan dengan pengetahuan sedia ada pelajar.
iv)           Sampaikan isi pelajaran atau bahan P&P.
v)            Membimbing pembelajaran pelajar.
vi)           Uji penguasaan pembelajaran pelajar melalui aktiviiti.
vii)          Memberi maklum balas tentang penguasaan pembelajaran pelajar.
viii)         Mentaksir pencapaian pelajar.
ix)           Meningkatkan ingatan dan pemindahan pembelajaran.
Dengan itu, Model ASSURE merupakan model yang dapat membantu guru merancang pengajaran yang dapat memanfaatkan penggunaan media. Modal ini berasaskan buku Robert Gagne, Events of Instruction (1992). Model ini juga merupakan satu rujukan kepada guru, guru boleh merancang secara sistematik supaya bahan, media atau kaedah mengajar yang digunakan benar-benar memberi kesan kepada proses P&P dalam bilik darjah masing-masing. ASSURE ialah akronim kepada huruf pertama dalam enam bahagian atau proses dalam model ini.
A
Analyse Learners
Analisis Pelajar
S
State Objectives
Nyatakan objektif / hasil pembelajaran
S
Select methods, media and materials
Pilih kaedah, media dan bahan sumber
U
Utilize media and materials
Guna media dan bahan sumber
R
Require learner participation
Libatkan pelajar dalam pembelajaran
E
Evaluate and revise
Nilai dan semak semula

1. Analisis Pelajar
Menganalisis pelajar adalah penting, kerana ia dapat membantu guru merancang P&P yang sesuai bagi mereka. Guru boleh manganalisis pelajar berdasarkan aspek-aspek berikut:
a)    Ciri-ciri umum pelajar
b)    Pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar
c)    Gaya pembelajaran pelajar

a) Ciri-Ciri umum pelajar
Ciri-ciri umum pelajar termasuklah jantina, umur, tahun, kelas, aliran, penempatan, daerah, kawasan, budaya, taraf sosioekonomi, budaya dan sebagainya. Pemilihan kaedah, sumber, bahan dan media dapat disesuaikan dengan jenis pelajar yang dikenalpasti. Sebagai contoh, bagi pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasanya, guru boleh menggunakan gambar, bahan konkrit dan aktiviti tanpa media cetak untuk membantu pembelajarnnya. Bagi pelajar yang aktif atau pelajar Tahap 1 (Tahun1 – Tahun 3), guru boleh melebihkan aktiviti yang banyak gunakan pergerakan seperti lakonan, dan mengurangkan aktiviti membosankan seperti latihan menulis dan membaca teks. Bagi pelajar yang suka buat kerja tangan, guru boleh menjalankan aktiviti membuat buku skrap ataupun membuat modal landskap permukaan bumi.

b) Pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar
Pengalaman bagi setiap pelajar adalah berbeza, menganalisis pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar dapat membantu guru menyediakan pengajaran yang memanfaatkan pelajar. Guru boleh mengadakan ujian praunit yang akan dipelajari oleh pelajar, atau mengkaji pembelajaran unit dengan terlebih dahulu mengadakan sesi soal jawab di dalam kelas, supaya dapat mengenalpasti pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar. Setelah guru dapat maklumat pengetahuuan dan pengalaman sedia ada pelajar tentang topik yang akan dipelajari, mudahlah bagi guru untuk memilih pengisian sumber pembelajaran dan kaedah yang sesuai untuk digunakan.
Sebagai contoh, jika pelajar di dalam kelas tersebut adalah membeli makanan sendiri di kantin sekolah, penggunaan wang kertas dan syiling adalah kebiasaanya. Semasa mengajar topik penambahan atau penolakan wang dalam lingkungan RM 50, guru boleh menjalankan aktiviti “jual beli” di dalam kelas, supaya pelajar boleh mengaitkan pengalaman sedia adanya dengan pembelajaran. Setelah aktiviti “jual beli” itu tamat, guru mengaitkan aktiviti yang dijalankan tadi dengan menggunakan ayat matematik. Pelajar boleh memahami konsep pembelajaran ini dengan lebih kukuh melalui aktiviti yang sedemkian.
Sebagai contoh lain, bagi pelajar yang berasal dari kampung, adalah biasaannya membantu ibubapa membuat “kuih raya”. Maka, semasa guru bahasa mengajar membuat karangan yang berunsur urutan membuat sesuatu makanan, guru bolehlah memilih karangan yang bertema “proses membuat dodol”, “proses memasak ketupat”, “cara membuat kuih bakul” dan sebagainya.

c) Gaya pembelajaran pelajar
Gaya pembelajaran pelajar merujuk kepada cara yang paling berkesan dan sesuai untuk pelajar tersebut menguasai pembelajaran, dan setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Jika guru mengetahui tentang gaya pembelajaran pelajar, ia dapat membantu guru merancang P&P yang efektif. Gaya pembelajaran pelajar mempengaruhi cara pelajar tersebut memproses maklumat, membentuk persepsi pula merupakan faktor motivasi dan tingkahlaku belajar.
Sebagai contoh, bagi pelajar suka belajar melalui perbincangan bersama rakan, guru boleh melebihkan aktiviti perbincangan dalam kumpulan,aktiviti membuat buku skrap secara berkumpulan, membuat modal landskap permukaan muka bumi secara berkumpulan dan sebagainya. Bagi pelajar yang suka belajar dengan menggunakan 5 deria, guru hendaklah sediakan bahan yang dapat dilihat atau didengar seperti video klip, bahan yang dapat disentuh, dicium ataupun dirasa.

2. Nyatakan objektif / hasil pembelajaran
Guru perlu menyatakan objektif P&P dengan jelas, kerana ia adalah sebagai hala tuju P&P. Ia juga adalah penekanan kepada apa yang pelajar boleh buat selepas menjalani proses pembelajaran, maka objektif yang dibuat oleh guru mestilah spesifik. Selain itu, pernyataan objektif dapat membantu guru memilih media, bahan dan kaedah penyampaian yang sesuai. Dengan itu, barulah guru dapat menentukan langkah aktiviti P&P. Jika tidak menyatakan objektif dengan terlebih dahulu, guru tidak dapatlah menilai pencapaian pelajar.Dalam hal ini, satu pernyataan objektif yang baik mestilah mengandungi 4 kriteria berikut:
a)    Siapakah yang hendak dicapai? (Kumpulan sasar)
b)    Apakah yang hendak dicapai? (Apakah bentuk pelakuan baru)
c)    Bagaimanakah hendak dicapai? (Apakah syarat pelakuan)
d)    Apakah tahap pencapaian minimum? (Standard pencapian)

a) Siapakah yang hendak dicapai? (Kumpulan sasar)
Kumpulan sasar yang dimaksudkan adalah pelajar, kerana fokus penulisan objektif guru adalah pembelajaran. Proses pembelajaran akan berlaku hanya sekiranya pelajar terlibat dengan aktif dalam aktiviti pembelajaran sama ada secara fizikal ataupun mental. Jika proses pembelajaran yang dijalankan tidak menarik perhatian pelajar, ini memberi makna kepada pelajar bahawa proses P&P yang dijalankan oleh guru adalah membosankan bagi mereka. Maka objektif guru adalah gagal dicapai.

b) Apakah yang hendak dicapai? (Apakah bentuk pelakuan baru)
Merujuk kepada pelajar, tingkahlaku yang dinyatakan dalam objektif P&P hendaklah yang dapat dilihat dan diukur pencapaiannya. Selain itu, tingkahlaku ini juga hendaklah yang wajar dan berasaskan situasi sebenar. Contoh perkataan yang sesuai digunakan ialah: melakar, meramal, membaca, menamakan, melukis, menjawab, menilai, melabel, menjelas dan sebagainya.

c) Bagaimanakah hendak dicapai? (Apakah syarat pelakuan)
Apakah syarat pelakuan? Pencapaian objektif P&P hendaklah termasuk syarat bagaimana tingkahlaku baru itu dapat diperhatikan. Dengan adanya penyataan syarat pencapaian objektif ini,  ia dapat membantu guru menyediakan suasana dalam langkah P&P. Contoh syarat yang digunakan ialah: dalam lingkungan 100, sehingga tiga tempat perpuluhan, yang melibatkan operasi darab, sekurang-kurangnya 7 nama negeri di Semenanjung Malaysia dan sebagainya.

d) Apakah tahap pencapaian minimum? (Standard pencapaian)
Standard pencapaian atau darjah pencapaian minimum merujuk kepada darjah ketepatan, kualiti atau kuantiti tingkahlaku, tempoh masa yang ditetapkan dan sebagainya. Penyataan pengukuran pencapaian ini dapat membantu guru menyediakan tindakan susulan bagi membantu pelajar yang belum mencapai objektif P&P dalam bentuk aktiviti pengayaan ataupun aktiviti pemulihan. Penulisan tahap pencapaian terdapat dua bentuk, iaitu dalam bentuk kualitatif atau kuantatif.

Berikut adalah contoh penulisan objektif P&P:
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, pelajar dapat
·         Mendarab nombor perpuluhan sehingga satu tempat perpuluhan dengan satu digit, 10, 100 dan 1000.
·         Mendarab nombor perpuluhan sehingga dua tempat perpuluhan dengan nombor satu digit, 10, 100 dan 1000.
·         Menyelesaikan masalah yang melibatkan mendarab nombor perpuluhan.

3. Pilih kaedah, media dan bahan sumber
Jika pemilihan kaedah, media dan bahan sumber dibuat secara sistematik dan terancang, ia dapat menhasilkan perancangan pengajaran yang baik. Proses pemilihan tersebut merangkumi aspek-aspek berikut:
·         Membuat keputusan mengenai kaedah yang paling sesuai dengan objektif yang hendak dicapai.
·         Memilih format media yang sesuai dengan kaedah yang dipilih tadi.
·         Memilih, mereka bentuk atau mengubahsuai bahan sumber pembelajaran.
Soalan-solan yang berikut perlu ditanya demi memilih bahan sumber yang sesuai:
·         Adakah bahan ini menepati kurikulum yang ditetapkan oleh KPM?
·         Adakah isi pelajarannya menepati kurikulum yang ditetapkan oleh KPM?
·         Adakah bahasa yang digunakan jelas?
·         Adakah bahan ini dapat menarik perhatian atau memotivasikan pelajar?
·         Adakah bahan ini dapat mengatifkan penglibatan pelajar.
·         Adakah bahan ini berkualiti?
·         Adakah sebarang bukti yang menunjukkan bahan ini berkesan?
·         Adakah bahan ini bebas daripada iklan atau kecenderungan memihak?
·         Adakah mengandungi panduan pengguna?
Guru haruslah bijak memilih bahan sumber sedia ada yang menepati kriteria dan objektif P&P yang ingin dicapai, kerana ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malahan dapat menjimatkan kos juga.
            Sebagai contoh, guru boleh memuat turun video klip yang sesuai melalui laman web yang disediakan oleh KPM, Youtube, Google secara percuma. Guru tidak perlu bersusah payah membeli CD, VCD ataupun DVD. Semua bahan yang dimuat turun tidak memerlukan tapak yang khas untuk menyimpannya. Guru boleh menyimpan video klip tersebut dalam thumdrive atau dalam komputer sekolah sahaja. Tetapi CD, VCD dan DVD memerlukan tempat khas untuk menyimpan, dan setelah gunapakai beberapa kali, mungkin terdapat “calar” di bahagian cakera justeru CD tersebut tidak dapat ditonton lagi.

4. Guna media dan bahan sumber
Sebelum media dan bahan sumber tersebut digunapakai dalam proses P&P di dalam kelas, terdapat langkah yang perlu dibuat oleh guru. Guru hendaklah semak, pratonton dan kaji bahan sumber sebelum digunakan di dalam bilik darjah. Langkah-langkah ini dapat membantu guru memastikan bahan tersebut adalah benar-benar sesuai dengan objektif P&P.
Sebagai contoh, sebelum menjalankan eksperimen, guru perlu menjalankan eksperimen tersebut sebelum ditunjukkan atau mengarahkan pelajar menjalankannya. Langkah ini dapat menjamin eksperimen tersebut tidak merbahayakan pelajar atau proses P&P dapatkah dijalankan dengan lancar, mendapatkan kepastian bahawa semua bahan dan alatan yang digunakan tidak merbahayakan dan masih boleh digunapakai lagi.
            Video klip yang ingin menayangkan kepada pelajar juga guru perlu menonton sebelum ditunjukkan kepada pelajar. Langkah ini adalah demi memastikan isi kandungannya sesuai dengan objektif P&P, tanpa mengandungi unsur ganas, lucah, iklan dan sebagainya. Langkah-langkah sedemikian dapat juga menjamin kelancaran P&P dijalankan, dan guru boleh juga mengawal peruntukan masa yang diperlukan dengan berkesan.
            Bagi memastikan kejayaan penggunaan media dan bahan sumber, guru hendaklah sediakan:
a)    Bahan untuk penggunaan dalam kelas.
b)    Sediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.
c)    Sediakan pengalaman pembelajaran untuk pelajar.

a) Bahan untuk penggunaan dalam kelas
Bagi guru Sains yang ingin menjalankan eksperimen, maka bahan yang perlu disediakan adalah seperti bikar, tabung uji, Penunu Bunsen, penyala api ataupun bateri, magnet, benda logam, benda bukan logam dan sebagainya. Tetapi bagi guru mata pelajaran yang lain, mungkin bahan yang diperlukan adalah lain pula. Seperti jika guru tersebut ingin menayangkan Power Point ataupun video klip, bahan yang diperlukan kemungkinan besar adalah projekter, komputer, notebook, skrin, pembesar suara, tetikus dan sebagainya.

b) Sediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran
Bagi guru Sains yang disebutkan tadi, kawasan persekitaran yang sesuai adalah makmal Sains. Makmal Sains mempunyai kerusi meja yang sesuai membuat experimen secara berkumpulan, semua bahan yang diperlukan untuk membuat eksperimen terdapat dalam almarinya. Selain itu, makmal Sains adalah jauh daripada bilik darjah, maka pelajar boleh menjalankan eksperimennya tanpa gangguan daripada pelajar dari kelas lain.
Bagi guru yang kedua disebut tadi, kawasan persekitaran yang sesuai adalah Bilik Tayangan atau mana-mana bilik darjah yang disediakan dengan skrin. Jika bilik darjah tersebut tidak mempunyai skrin, guru tidak dapat menayangkan apa-apa untuk pelajar. Jika bilik darjah tersebut mempunyai skrin tetapi tidak mempunyai projekter dan juga komputer, ia bukanlah masalah besar, kerana guru boleh membawa projekter dan juga notebook masuk ke dalam bilik darjah dan memasangkannya. Dengan menggunakan notebook, terdapat ke tidak tetikus bukan lagi perkara yang penting lagi. Kerana notebook terdapat tapak yang boleh menggunakan sentuhan jari untuk memilih atau menggerakkan icon yang diperlukan.

c) Sediakan pengalaman pembelajaran untuk pelajar
Guru boleh bertindak sebagai penyampai utama menyampaikan media, ataupun bertindak sebagai pemudah cara atau pengurus pembelajaran. Sebagai contoh, guru boleh menjalankan eksperimen tersebut, dan pelajar hanyalah sebagai penonton. Akan tetapi, guru juga boleh memberikan arahan yang jelas, supaya pelajar boleh menjalankan eksperimen tersebut dengan keupayaan sendiri.
            Ketika menayangkan CD courseware yang disediakan oleh KPM, soalan yang ditayangkan pelajar akan menjawabnya, guru boleh menggunakan cara iaitu pelajar jawab secara lisan, dan guru akan klikkan untuk pelajar. Ataupun pelajar diarahkan menjawab secara lisan dan kemudianya klikkan jawapan tersebut dan melihat adakah jawapan yang dipilihnya adalah betul.
            Semasa kelas Pendidikan Jasmani, guru boleh melakukan demokrasi pergerakan kepada pelajar, dan mengarahkan pelajar untuk melakukannya. Akan tetapi, guru juga boleh mengarahkan pelajar yang mempunyai kemahiran tersebut melakukan demokrasi pergerakan, guru hanyalah sebagai penasihat.

5. Libatkan pelajar dalam pembelajaran
Sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar berfikir dengan aktif atau beraktiviti akan menghasilkan perubahan tingkahlaku yang kekal. Fakta ini disokong oleh semua teori pembelajaran yang terdapat dalam modul seperti Teori Behavioris dan juga Teori Kognitif. Apabila pelajar mengalami perasaan berjaya, mereka akan mengekalkan motivasi belajar mereka terhadap aktiviti pembelajaran yang dijalankan oleh guru tersebut.
            Guru boleh menjalankan pelbagai aktiviti yang dapat mengekalkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pembelajaran, seperti latihan dalam bentuk perbincangan, latih tubi, latihan bertulis, permainan bahasa, lakonan dan sebagainya. Selain itu, pertandingan kuiz antara kumpulan adalah aktiviti yang paling digemari oleh pelajar saya. Mereka akan berebut-rebut untuk menjawab soalan yang diberi oleh guru, selain itu, mereka juga akan berkerjasama membantu pelajar yang lebih lemah supaya mereka juga dapat menjawab soalan dan mengumpul markah untuk kumpulan.
            Kegiatan pengukuhan seperti pengukuhan serta merta diberi selepas pelajar memberi tindak balas yang betul. Bagi pelajar yang gagal menguasai pembelajaran tersebut, guru juga perlu menjalankan kegiatan pengayaan ataupun aktiviti pemulihan. Sebagai contoh, bagi pelajar yang telah mencapai objektif seperti operasi darab nombor dua tempat digit dengan nombor satu digit dalam lingkungan 1000, guru boleh memberi latihan pengukuhan yang berkaitan dengan kemahiran tersebut. Tetapi bagi pelajar yang masih belum dapat mencapai objektif tersebut, guru bolehlah memberi aktiviti pengayaan seperti latihan operasi darab nombor satu digit dengan nombor satu digit dalam lingkungan 100 sahaja.

6. Nilai dan semak semula
Nilai dan semak semula merupakan langkah terakhir dalam Model ASSURE. Langkah ini menyentuh dua aspek penilaian, iaitu penilaian pembelajaran dan juga penilaian pengajaran. Penilaian seharusnya dilakukan sepanjang proses P&P untuk memastikan pemilihan objektif, kaedah, media dan bahan sumber sesuai dengan keupayaan pelajar. Untuk menjalankan penilaian tentang kekuatan dan keberkesanan bahan media itu secara menyeluruhan, soalan-soalan berikut harus difikirkan:
a)    Adakah objektif-objektif pembelajaran tercapai?
b)    Adakah alat atau bahan media yang digunakan membantu proses P&P?
c)    Adakah semua pelajar menggunakan alat atau bahan media dengan cara yang betul?
d)    Adakah suasana pembelajaran yang disediakan selesa atau sesuai?
e)    Adakah peluang-peluang pemerhatian pelajar diberi?

a) Adakah objektif-objektif pembelajaran tercapai?
Adakah objektif pembelajaran yang guru tetapkan itu tercapai? Berapakah bilangan pelajar yang tercapai dan berapakah bilangan pelajar yang tidak tercapai? Guru perlu mengambil kira bilangan pelajar yang tidak tercapai, supaya penambahbaikan boleh dijalankan.
b) Adakah alat atau bahan media yang digunakan membantu proses P&P?
Adakah semua alat atau bahan media sesuai dan mencukupi digunakan? Perlukah bilangan atau kriteria alat diubahsuaikan? Jika sesuai, guru boleh menggunakan alat atau bahan media yang sedemikian untuk proses P&P yang agak sama. Jika tidak sesuai, guru perlu mencari sebabnya, dan membuat penambahbaikan demi proses P&P yang baik bagi masa akan datang.

c) Adakah semua pelajar menggunakan alat atau bahan media dengan cara yang betul?
Adakah pelajar dapat menggunakan alat atau bahan media yang disediakan dengan cara yang betul? Jika tidak, adakah masalah tersebut timbul disebabkan arahan yang diberikan oleh guru kurang jelas? Ataupun, guru perlu menukarkan alat atau bahan media tersebut kepada alat atau bahan media yang lebih mudah gunapakai oleh pelajar? Setelah mendapat jawapan, guru bolehlah mengubahsuaikan rancangan pengajaran pada masa akan datang.

d) Adakah suasana pembelajaran yang disediakan selesa atau sesuai?
Setelah menggunakan bilik darjah, Makmal Sains, Makmal komputer, Bilik Tayangan, Bengkal KH dan sebagainya, untuk menjalankan proses P&P, guru perlulah membuat penilaian bahawa adakah tempat-tempat ini sesuai. Jika sesuai, guru boleh menggunakannya bagi proses P&P yang agak sama pada masa akan datang. Tetapi jika tidak sesuai, guru haruslah mencari sebabnya dan membuat pengubahsuaian.

e) Adakah peluang-peluang pemerhatian pelajar diberi?
Peluang-peluang pemerhatian pelajar perlu diberikan juga, jika guru mendapati peluang tersebut adalah kurang, guru perlulah memilihkan gaya pengajaran yang dapat memberi peluang-peluang pemerhatian pelajar yang mencukupi.


No comments:

Post a Comment