Wednesday, 21 August 2013

Esei Ilmiah ADH

 Definasi ADHD adalah suatu peningkatan aktiviti motorik hingga pada tahap tertentu yang menyebabkan gangguan kelakuan yang terjadi, setidaknya pada dua tempat dan suasana yang berbeza. Aktiviti anak yang tidak lazim dan cenderung berlebihan yang ditandai dengan gangguan perasaan gelisah, selalu menggerak-gerakkan jari-jari tangan, kaki dan pensil, tidak dapat duduk dengan tenang dan selalu meninggalkan tempat duduknya, meskipun pada saat di mana dia seharusnya duduk dengan tenang. Terminologi lain yang dipakai menyatakan beberapa kelainan kelakuan meliputi perasaan yang meletup-letup, aktiviti yang berlainan, suka membuat keributan, membangkang dan destruktif yang menetap.
           
            ADHD adalah penyakit kelainan otak, di mana otak tidak dapat memproduksi bahan kimia tertentu yang berfungsi mengorganisasikan pemikirannya. Tanpa adanya bahan kimia tersebut, maka proses pengorganisasian di otak tidak berjalan sebagaimana mestinya. Telah dikesan hampir 8% hingga 10% kanak-kanak yang telah bersekolah menghidapi ADHD, dan kanak-kanak lelaki adalah 3 kali ganda lebih ramai daripada kanak-kanak perempuan. Bagi kanak-kanak ADHD, ibubapanya didapati sukar untuk menguruskan mereka, kerana kanak-kanak ini terlalu aktif, cepat hilang tumpuan dan cepat gelisah.

            Kanak-kanak ADHD boleh memahami dan berfikir, tetapi mereka suka bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan tidak menumpukan perhatian terhadap sesuatu tugas. Walaupun orang ramai terasa memang semua kanak-kanak bertindak sedemikian, tetapi bagi kanak-kanak ADHD, kenakalan mereka adalah luar biasa, terutama jika berminat terhadap sesuatu perkara baru. Selain itu, mereka juga lemah dalam akademik dan sukar bergaul dengan masyarakat.



a. Ciri-ciri dan penyebab kepada gangguan hiperaktif atau masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (Attention Deficit Hyperactivity Disorder/ADHD)

Ciri-ciri ADHD pada kanak-kanak perlu diperhatikan melalui ujian diagnosis ADHD, walaupun perkara ini agak sukar, kerana kadang-kala ia tidak dapat dilihat secara sekilas, atau mengambil kesimpulan hanya dengan melakukan ujian sekali sahaja. Ia haruslah dilakukan dengan beberapa proses. ADHD memang kelihatan hampir sama dengan kelainan yang lain seperti kemurungan sehingga agak sukar untuk kami membezakannya. Walaupun sukar dalam mendiagnosisnya, tetapi terdapat ciri-ciri khas pada anak yang menghidap ADHD, dan juga terdapat kriteria yang membolehkan kami menggolongkan anak ADHD tersebut.


            Menurut William Cruickshank (1986) ciri-ciri kanak-kanak ADHD terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sensory Hyperactive (pancaindera) dan Motor Hiperaktif (motor kasar dan motor halus). Kanak-kanak Sensory Hyperactive ini biasanya lemah dalam akademik, kerana terlalu suka bermain, dan pemikiran hanya tertumpu pada sesuatu yang menghibur walaupun seketika. Mereka tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya di dalam proses P&P.  Jika mereka dapat memberikan tumpuan pada proses P&P, itupun hanya seketika sahaja atau beberapa minit sahaja. Beberapa minit kemudian, mereka akan mengalihkan tumpuan mereka kepada sesuatu yang lebih memberikan perasaan yang menghiburkan hatinya. Mereka kerap kali menumpukan tumpuannya terhadap pandangan dan pendengaran yang berulang kali. Kanak-Kanak ADHD jenis ini kebanyakkannya tidak dapat membuat gambaran, membezakannya atau menghuraikan sesuatu perkara yang ada hubung kait. Suasana atau keadaan persekitaran dari segi saiz, jarak dan keadaan ruang, mereka tidak dapat membezakan juga.
            Bagi kanak-kanak ADHD jenis Motor Hiperaktif pula terlalu aktif dalam aktiviti sehariannya. Mereka tidak dapat duduk diam, asyik berjalan ke sana sini, melompat-lompat, berlari, berguling dan sebagainya. Ada ketikanya, mereka bersikap agak agresif sehingga menyebabkan pergaduhan mencederakan rakan-rakan. Mereka gemar memanipulasikan benda atau apa saja yang dipegang, mereka akan cuba pelbagai cara seperti memukul, membaling, menghentak dan sebagainya terhadap benda tersebut. Bukan benda sahaja, orang yang berada berhampiran dengannya juda menjadi sasarannya.
                             

            Kami dapat lihat ciri-ciri kanak-kanak ADHD melalui empat aspek, iaitu intelektual,  tingkahlaku, perkembangan motor dan perkembangan sosial. Ibubapa dan guru-guru perlu mengetahui ciri-ciri intelektual kanak-kanak ADHD, terutamanya ciri-ciri seperti mereka mudah diganggu oleh orang lain ataupun diri sendiri, fikirannya sentiasa terganggu oleh perkara-perkara lain semasa melakukan sesuatu perkara yang dianggap penting.  Tidak kira semasa proses P&P dijalankan, di rumah ataupun di kawasan lain, kanak-kanak ADHD tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya, mereka asyik memikirkan perkara lain yang tiada kaitan dengan perkara yang dilakukannya pada masa itu.

Disebabkan kanak-kanak ADHD mudah rasa bosan dengan sesuatu perkara atau kerja yang menyusahkan dan memenatkan, maka mereka hanya boleh melakukan kerja atau tugasan tersebut dengan baik pada permulaannya, mereka tidak mampu menyiapkan kerja atau tugasan tersebut hingga akhir. Maka, hasil kerja atau tugasan yang dihasilkannya adalah tidak berkualiti. Guru atau ibubapa hanya boleh menyediakan kerja atau tugasan yang berciri ringkas, tidak mengambil msa yang panjang untuk mereka. Disebabkan naluri suka berubah-ubah, maka kanak-kanak ADHD gemar melakukan aktiviti terutama kepada sesuatu aktiviti yang tidak memenatkan. Dengan keasyikan melakukan pelbagai aktiviti, kanak-kanak ADHD tidak dapat berbahasa dengan baik, perkembangan pertuturan mereka adalah lambat.

Terdapat pelbagai ciri-ciri tingkahlaku kanak-kanak ADHD yang telah dikenalpasti, ciri-ciri tersebut ialah bertindak sebelum berfikir, tidak boleh menunggu giliran, tidak suka dengar nasihat, tidak tahu mempertahankan diri, tidak suka dibelai, memerlukan kepuasan dengan segera, perlukan perhatian yang lebih, sentiasa bermasalah, suka mencuri, suka mengganggu kawan, suka menentang, suka membuat bising, suka menjerit, suka bermain tanpa mengira bahaya, selalu merosakkan harta benda orang, selalu bergaduh dengan rakan, kadangkala berani mencederakan diri sendiri dan orang lain, perlakuan secara tiba-tiba, degil dan sukar dikawal, lemah merancang, selalu tukar aktiviti, dan sensitif terhadap bau-bauan.

Salah satu ciri-ciri perkembangan motor bagi kanak-kanak ADHD adalah mereka suka berkhayal dan mengelamun tentang perkra-perkara yang digemari apabila mereka bersendirian, dan pabila mereka tersedar dari lamunannya mereka akan mengaplikasikannya.  Kadangkala, semasa berkhayal, mereka akan melakukan sesuatu di luar kawalannya tanpa disedari. Kelakuan ini boleh dikatakan mereka tidak tahu erti bahaya. Jika mereka tidak dapat melakukan sesuautu perkara yang mereka suka atau minat, mereka akan berasa resah, gelisah dan risau. Kanak-kanak ADHD melakukan pelbagai aktiviti hanya disebabkan keseronokkan, mereka tak terfikir akktiviti yang dilakukan itu merbahaya. Sebagai contoh, melompat longkang yang besar, memanjat ke atas meja dan seterusnya terjun ke bawah dan sebagainya. Berlari juga salah satu aktiviti yang dianggap menyeronokkan oleh kanak-kanak ADHD, mereka suka berlari ke sana ke mari tanpa mempedulikan orang lain, walaupun aktiviti berlari ini mungkin akan mengakibatkannya terjatuh atau tersungkur.

Ibubapa atau guru dikehendaki mengawasi kanak-kanak ADHD dengan rapi, disebabkan mereka melakukan pelbagai aktiviti atau perkara dengan tuujuan keseronokkan sahaja, maka mereka tidak terfikir tentang keselamatan diri sendiri. Mereka kerap kali mendedahkan diri sendiri dengan perkara-perkara yang akan mendatangkn masalah kepada diri sendiri atau orang lain. Disebabkan kanak-kanak ADHD hanya memikirkan diri sendiri sahaja tanpa memikirkan orang lain, mereka tiidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dalam sesuatu permainan atau pasukan. Tindakan yang dilakukannya adalah cepat semasa menerima tugasan yang diberi oleh guru, akan tetapi sikap penuh semangat dan keyakinan dirinya juga berserta dengan tidak teliti, tiada peraturan atau strategi tertentu, menyebabkan hasilan tugasan tersebut adalah tidak baik.


Yang terakhir adalah ciri-ciri perkembangan sosial kanak-kanak ADHD, disebabkan mereka tidak berupaya memahami arahan atau hal-hal yang mereka dengar, maka perkara yang dilakukannya adalah mengikut perasaan sahaja. Jika mereka dihukum, mereka juga tidak tahu kenapa perbuatan itu tidak boleh dilakukan. Kanak-kanak hanya memikirkan keseronokkan sendiri dan kemahuan sendiri, mereka tidak hiraukan perasaan orang lain serta tidak berasa empati terhadap orang lain. Dengan jangka masa tumpuan yang singkat, kami dapati mereka adalah pelupa. Gagal dalam akademik, tidak dapat bergaul dengan rakan-rakan atau tidak berminat untuk berinteraksi dengan orang lain.

Seperti yang dinyatakan tadi, kanak-kanak ADHD boleh dikategorikan kepada  Inatesi[1] , Impulsif[2], dan Hiperaktif[3]. Kanak-kanak ADHD yang mempunyai gejala Inatesi sentiasa kurang menumpukan perhatian terhadap segala-galanya semasa menjalankan aktivitinya. Disebabkan kekurangan penumpuan ini, mereka sering melakukan kesalahan semasa menjalankan aktiviti ataupun tugasan yang diberikan, mereka tidak dapat melakukannya dengan baik, tidak kira di rumah ataupun di sekolah. Tumpuan mereka sering dialih ke perkara lain, bahkan boleh dikatakan juga mereka adalah pelupa. Semasa berinteraksi dengan kanak-kanak ADHD, mereka tidak mahu mendengar atau bercakap dengan ibubapa, guru-guru, rakan-rakan, ataupun orang lain. Arahan yang diberikan untuk melakukan aktiviti atau tugasan, kanak-kanak ADHD mengalami kesukaran untuk mengikutinya, mereka sentiasa mengelakkan diri untuk melakukan aktiviti yang memerlukan pemikiran atau memenatkan.

Bagi kanak-kanak ADHD yang mempunyai gejala Impulsif pula, mereka menunjukkan naluri melakukan aktiviti mengikut kehendak sendiri, demi mendapatkan keseronokkan sahaja. Mereka melakukan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, dan dalam masa yang singkat, mereka berubah membuat aktiviti lain pula. Ini menyebabkan ibubapa atau guru-guru berasa mereka sukar dikawal dan sentiasa enggan mendengar arahan.

Gejala Hiperaktif pula memberi erti kanak-kanak ini sentiasa melakukan aktivitinya dalam kriteria “berlebihan” walaupun tiada kebenaran. Sebagai contoh, mereka suka berlari-lari, melompat-lompat,  berguling dan sebagainya, mereka sukar duduk diam, dan seolah-olah ada kuasa yang menyebabkan mereka tidak boleh duduk diam. Jika mereka tidak dapat melakukan perkara yang diminati, mereka akan berasa gelisah, semasa dalam perasaan gelisah, kami dapat lihat bahawa walaupun mereka dalam keadaan duduk, akan tetapi mereka masih menggerak-gerak tangan dan kakinya. Kanak-kanak Hiperaktif ini selalui menghadapi kesulitan dalam menjalankan aktiviti dengan tenang, selalu mengganggu rakan lain walaupun aktiviti atau perbincangan sedang dijalankan. Mereka tiada kesabaran, ingin bertindak segera, enggan menunggu giliran, dan kadangkala menjawab soalan yang masih belum habis tanya lagi.


            Tiada siapa tahu apakah punca ADHD, puncanya tidak dapat dikenalpasti dengan tepat kerana terdapat terlalu banyak kemugkinan. Yang pasti ADHD bukan disebabkan oleh menonton televisyen, alah pada makanan, gula yang berlebihan, keadaan hidup yang miskin, dan sekolah bertaraf rendah. Antara punca-punca yang telah dikenalpasti, punca yang pertama adalah keturunan. Menurut kajian, kanak-kanak yang ibu atau bapanya mengalami ADHD, anaknya adalah tiga kali ganda kemungkinan mempunyai ADHD berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai sejarah ADHD dalam keluarganya. Menurut Baekley (1998), terdapat 80% kanak-kanak ADHD adalah berpunca daripada keturunan. Secara umumnya, sperma bapa akan menghasilkan 23 pasang kromosom, begitu juga ovum ibu, apabila persenyawaan berlaku, anak kemungkinan akan mewarisi sifat cacat yang dibawa oleh bapa atau ibunya.
  


            Ahli sains juga mendapati tiga bahagian otak iaitu prefrontal cortex, basal ganglia dan cereblum kerap berfungsi secara berbeza-beza pada mereka yang mengalami ADHD berbanding dengan individu yang normal. Didapati tindak balas atau aktiviti elektrikal mereka terhadap rangsangan adalah berkurangan. Bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neutransmitter yang memancarkan malmukat daripada 3 bahagian di atas kepada bahagian yang lain, tidak dipecahkan dan diserap semula dengan semprna dalam otak kanak-kanak ADHD. Selain itu, tahap metabolisma di bahagian otak yang tertentu adalah rendah bagi mereka yang mangalami ADHD, dan sila lihat gambar rajah di bawah.

            Kecederaan otak ini mungkin terjadi semasa tempoh prenatal, ia mungkin kerana ibu yang mengandung ini merokok, penggunaan dadah atau kekurangan oksigen. Terdapat kajian-kajian terkini menunjukkan bahawa faktor fisiologi merupakan punca utama terjadinya ADHD, dan faktor persekitaran pula dilihat sebagai penyumbang kepaada tahap keterukan ADHD yang dialami oleh kanak-kanak ADHD. Ibubapa tidak patut mencari alasan-alasan yang mungkin terjadi punca ADHD. Sebaliiknya, setiap keluarga haruslah mengorak langkah ke hadapan sekali, mengenalpasti cara-cara yang boleh membantu anak-anak mereka mendapatkan bantuan yang sewajarnya.








b. Intervensi awal yang boleh dilakukan melalui model perubatan (Medical Model) dan
Model Sosial terhadap kanak-kanak masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (Attention
Deficit Hyperactivity Disorder/ADHD).

Jika dapati seorang kanak-kanak mahupun bayi terlalu aktif, sehingga dia tidak boleh duduk diam dalam jangka masa yang panjang. Masalah ini bukan berpunca daripada ibubapa yang tidak pandai mengawal tingkahlaku anak mereka, tetapi ianya mungkin disebabkan oleh masalah ADHD. Sebelum membuat sebarang kesimpulan, ibubapa berkenaan bolehlah meminta pendapat kawan-kawan, saudara-mara dan keluarga terdekat terlebih dahulu, kemudiannya menjalankan beberapa ujian ringkas untuk melihat reaksi anak. Dalam kebanyakkan kes, kanak-kanak akan mudah terganggu dan hilang fokus serta menjadi terlalu aktif.

Jika kanak-kanak tersebut berterusan menunjukkan simpton-simptom masalah ADHD, dan ibubapa mengetahui atau yakin kanak-kanak tersebut mengalami ADHD, jangan merasa putus asa atau panik atau hal-hal yang bersifat negatif yang lain. Dalam hal ini, pemikiran yang positif amat diperlukan,  bukan itu sahaja, komunikasi dengan kanak-kanak ADHD secara intensif diperlukan juga. Segera bawa kanak-kanak tersebut berjumpa doktor pakar untuk tindakan selanjutnya, kerana dengan adanya rawatan dan terapi untuk kanak-kanak ADHD, maka ibubapa tidak perlu risau penyakit ini tidak dapat diubati. Apa yang paling penting adalah melakukan diagnosis untuk mengetahui ciri-ciri ADHD kanak-kanak tersebut, supaya rawatan yang tepat dapat dilakukan.

            Membuat diagnosis yang lengkap memerlukan penilaian daripada seorang pakar yang berpengalaman, memandangkan terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan keresahan dan tingkahlaku yang tidak dapat menumpukan perhatian. Tiada ujian mudah untuk ADHD. Diagnosis dibuat dengan mengenalpasti corak tertentu tingkahlaku kanak-kanak serta membuat pemerhatian dan mendapatkan laporan tingkahlaku mereka di rumah dan di sekolah daripada ibubapa dan guru-guru di sekolah.

            Terdapat beberapa rawatan yang sering digunakan bagi merawat kanak-kanak ADHD ini. Rawatan-rawatan ini kerap kali melibatkan pendekatan multidisiplin yang merangkumi bidang perubatan, psikologi, sosial dan pendidikan. Dalam bidang perubatan, ubat perangsangdigunakan bagi mereawat ADHD, tetapi tidak bermakna gangguan ini akan pulih sepenuhnya. Ubat perangsang membantu kanak-kanak ADHD menjadi tenang, dapat menumpukan perhatian dan kurang bertindak mengikut gerak hati. Pada jangka masa keberkesanan ubat perangsang, tumpun perhatian kanak-kanak bertambah untuk belajar dan menjalankan latihan-latihan kemahiran yang baru. Ubat perangsang yang utama bagi merawat ADHD adalah methyphenidate. Kesan ubat ini dijangka bermula dalam masa 30 hingga 60 minit dan keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3 hingga 4 jam. Seorang kanak-kanak ADHD mungkin memerlukan antara 2 hingga 3 dos pada setiap hari bagi mendapatkan kesan yang baik.


            Antara ubat-ubat lain yang digunakan bagi merawat gangguan ini ialah adderall amphetamine, cocerta methyphenidate, dexerine dexromphetamine dan dextrostat dextroamphetamine. Terdapat dadah atomoxetine yang didaftarkan atas jenama Strattre, memberi kesan kepada neurotransmiter norepinephrine, sementara dadah perangsang berfungsi pada bahagian dopamine. Bahagian neurotransmiter, norepinephrine dipercayai memainkan peranan dalam gangguan ADHD di kalangan kanak-kanak.

            Walaubagaimanapun, sebelum mengambil sebarang ubat bagi merawat ADHD, penjaga kepada kanak-kanak ADHD perlu mendapatkan nasihat daripada doktor, kerana sesetengah ubat hanya berkesan pada individu tertentu sahaja. Bagi kebanyakkan orang, dadah jenis perangsang mengurangkan hiperaktif dan impulsiviti kanak-kanak dengan segera, serta memperbaiki kemampuan mereka bagi memberi tumpuan, berkerja, dan belajar. Penggunaan ubat ini juga dapat memperbaiki koordinasi fizikal seperti yang diperlukan dalam penulisan dan sukan.

            Dadah perangsang dapat diambil dalam bentuk jangka masa panjang ataupun pendek. Dadah perangsang jenis baru dapat diambil sebelum pergi ke sekolah dan memberikan kesan dalam tempoh yang lama. Doktor boleh berbincang dengan ibubapa berkenaan keperluan kanak-kanak ADHD dan memutuskan jenis ubat yang perlu diambil. Terdapat beberapa kesan sampingan yang biasa muncul akibat pengambilan ubat-ubat ini adalah seperti kurang selera makan, sukar tidur, kebimbangan meningkat, dan mudah marah. Sesetengah kanak-kanak dilaporkan mengalami sakit perut dan kepala selepas mengambil ubat-ubat ini. Walaubagaimanapun, ubat sebenarnya hanya berfungsi mengawal simptom-simptom sepanjang hari ubat diambil.

            Walaupun ubat membantu kanak-kanak ADHD memberikan tumpuan yang lebih baik di sekolah, serta menyiapkan tugasan mereka, ia tidak dapat menambah kemahiran belajar mereka. Kanak-kanak ADHD yang turut mengalami gangguan bipolar akan diberi ubatan penstabil mood, seperti litium dan depakote. Sebagaimana kanak-kanak remaja juga didiagnosis sebagai penghidap ADHD selalunya akan memulakan rawatan mereka dengan ubat-ubat dadah perangsang. Atomoxetine adalah ubat yang biasa diberikan kepada remaja, selain daripada ubat antikemurungan seperti tricyclics, venlafaxine-effexor dan bupropion-wellbutrin.

            Sementara kanak-kanak ADHD menerima rawatan perubatan, ibubapa juga memainkan peranan yang penting dalam aspek rawatan psikologi. Menjaga kanak-kanak ADHD sememangnya sangat mencabar dan menguji kesabaran ibubapa. Walubagaimanapun, setiap ibubapa perlu faham bahawa mereka perlu sentiasa berada di sisi anak-anak mereka, kerana kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan yang berterusan daripada orang di sekeliling mereka. Kanak-kanak ADHD sentiasa menghadapi tekanan terutamanya daripada rakan sebaya sama ada semasa berada di sekolah, mahupun semasa bermain di taman permainan. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk menerangkan kepada anak mereka akan apa itu ADHD, dan mengapa kanak-kanak tersebut boleh menghidapinya. Kedua-dua ibubapa dan kanak-kanak ADHD ini  perlu memahami apa itu ADHD, dan jika perlu sertailah sesi kaunseling bersama-sama.

            Kajian menunjukkan bahawa keputusan peperiksaan kanak-kanak ADHD kurang memberangsangkan. Oleh yang demikian, mereka cenderung untuk merasa rendah diri dan terasing daripada rakan-rakan yang lain. Dalam hal ini, ibubapa perlulah memainkan peranan dengan membantu mereka untuk membina keyakinan diri. Cuba galakkan anak anda untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang diminatinya berbanding memaksanya untuk belajar sesuatu yang tidak disukainya. Kenalpasti kecenderungan minat anak. Setiap ibubapa pasti mempunyai impian untuk melihat anaknya berjaya. Namun begitu, jika impian tersebut tidak kesampaian, janganlah berputus asa kerana mereka sangat memerlukan sokongan ibubapa.


             Kanak-kanak yang menghadapi masalah ADHD bukanlah bodoh, mahupun mereka menghadapi masalah pembelajaran. Kanak-kanak ADHD hanyalah menghadapi gangguan tingkahlaku. Oleh itu, ibubapa yang baik perlulah memberi perhatian istimewa kepada kanak-kanak seperti ini. Tindakan seperti mmarahi dan menengking kanak-kanak ADHD, bukanlah satu tingdakan yang bijak. Tindakan seperti ini hanya kan menimbulkan rasa takut dalam diri mereka sekaligus akan menjarakkan lagi jurang antara ibubapa dengan kanak-kanak tersebut. Hal ini memberikan kesan yang buruk kepada diri kanak-kanak ADHD tersebut.

            Ibubapa dan anak-anak perlulah bersama-sama menghadapi masalah ADHD. Kanak-kanak ADHD digalakkan untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti tarian, muzik, dan sukan. Kanak-kanak ADHD tidak boleh berdiam diri dalam satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, cuba rancang pelbagai aktiviti yang berfaedah dan menarik perhatian anak, supaya dia tidak berasa bosan dan tertekan. Selain itu, ibubapa dan kanak-kanak ADHD juga boleh menyertai kelas Yoga yang mana boleh menenagkan minda dan badan. 

            Kanak-kanak ADHD bukan sahaja perlu diberi kaunseling di rumah, tetapi juga di sekolah. Ibubapa perlu memaklumkan hal ini kepada pihak sekolah supaya pihak sekolah boleh mengambil langkah sewajarnya bagi sama-sama membantu kanak-kanak ADHD tersebut. Guru juga memainkan peranan dalam mendidik kanak-kanak ADHd, kerana didikan ibubapa di rumah ternyata tidak mencukupi, kerana sebahagian besar masa kanak-kanak kini dihabiskan di sekolah. Dalam hal ini, ibubapa haruslah yakinkan anaknya bahawa masalah ini turut dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah personaliti yang terkenal. Pendek kata, ibubapa dan anak perlu berganding bahu untuk menghadapi masalah ini, perlulah bersama-sama saling menyokong dan berkerjasama.


           
c. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk membantu kanak-
    kanak masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (Attention Deficit Hyperactivity
Disorder/ADHD).

Program Sekolah Intergrasi Pendidiikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKB) bukan lagi satu perkara baru negara kita. Program ini telah wujud pada tahun 1988 dan kelas sekolah peringkat menengah dibuka pada tahun 1995. Di negeri Sabah, PNBK telah ditubuhkan pada tahun 1989 dan SK Bukit Padang selaku sekolah perintis. Penubuhan sekolah intergrasi PKBP ini selaras dengan usaha Jabatan Pendidikan Kahs (JPK) dalam menyediakan kemudahan pendidikan bagi murid berkeperluan khas sejajar dengan deklarasi antarabangsa yang telah Malaysia tandatangani. Pada keseluruhannya, deklarasi tersebut menyarankan agar negara-negara di dunia yang menjadikan kanak-kanak tersebut diberi hak samarata dalam pendidikan dan ibubapa mereka diberi hak menentukan jenis pendidikan sesuai untuk anak mereka.

            Keperihatinan pihak kerajaan juga boleh dilihat melalui kelulusan peruntukkan elaun RM50 daripada RM25 bagi kanak-kaanak berkeperluan khas yang ditempatkan di pusat dalam komuniti. Dalam Teras 4 dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) juga memperlihatkan kesungguhan pihak kerajaan membantu kanak-kanak ini iaitu merapatkan jurang pendidikan antar pelajar normal dengan berkeperluan khas berdasarkan kesesuaian dan keperluan mereka. Antara langkah yang diambil dalam memastikan keberjayaan PIPP ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah berusaha membangunkan dan membuka sekolah Intergrasi Pendidikan Sekolah. Perluasan pembukaan Sekolah Pendidikan Khas terutamanya PKBP, adalah sesuatu yang perlu dipandang positif, selain daripada memperlihatkan kesungguhan KPM, ia juga memperlihatkan tahap kesedaran ibubapa dan juga masyarakat di Malaysia terhadap keperluan pendidikan di kalangan anak mereka dan peluang-peluang yang telah disediakan pihak berwajib.

            Pertambahan kesedaran masyarakat terutamanya ibubapa terhadap pendidikan anak mereka secara tidak langsung meningkatkan jumlah murid di sekolah-sekolah Intergrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Dalam konteks sebagai seorang guru, perlu memberi peluang kepada kanak-kanak itu untuk ke sekolah dan belajar sepertimana rakan sebaya yang lain. Adalah menjadi tanggungjawab seorang guru bagi memastikan anak muridnya mencapai tahap akademik seperti kemampuan serta kesungguhan murid tersebut. Merancang pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sesuai dengan keperluan murid keperluan khas adalah sudah menjadi tanggungjawab guru. Sesungguhnya begitu, satu-satu proses P&P yang berkesan tidak boleh hanya bergantung kepada faktor kesungguhan guru dalam P&P dalam bilik darjah semata-mata. Berdasarkan pengalaman guru, terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keberkesanan penyampaian pembelajaran terhadap murid berkeperluan khas.

            Dalam aspek pengajaran kanak-kanak ADHD, selain daripada memilih guru yang berkebolehan, iaitu dengan menepatkan murid kepada guru yang optimis, fleksible dan berkebolehan dalam menyelesaikan masalah. Guru liberal ini mampu menolong murid mengalami masalah ADHD. Pihak sekolah juga boleh menyediakan sokongan bagi mempromosikan kelakuan yang ditugaskan, iaitu dengan mencari seorang rakan belajar yang sesuai kepada murid ADHD, memerhatikan setiap kerja yang dilakukan oleh murid ADHD dan mengekalkan kekerapan komunikasi antara ibubapa dengan sekolah.

Kanak-kanak ADHD belum dapat mengurus diri sendiri, mereka tidak tahu menjaga alat tulis mereka sendiri, menyimpan semula buku sendiri ke dalam beg. Sehubungan itu, kerjasama ibubapa dengan guru di sekolah amatlah diperlukan demi membina satu sistem untuk kanak-kanak ini. Salah satu cara dalam perkara membezakan buku mata pelajaran mereka dengan menggunakan kod warna. Kod warna dilekatkan di atas buku (bagi kes anak yang belum boleh membaca). Begitu juga dengan “menjaga” harta sendiri. Latih anak murid itu memiliki sebuah kotak pensil dan dalam kotak pensil itu harus dia pastikan sentiasa lengkap dengan alat tulis miliknya. Kerjasama dengan guru-guru lainjuga perlu agar latihan ini dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

Memandangkan kurangnya tumpuan adalah salah satu isu besar untuk murid ADHD, aktiviti P&P untuk mereka perlu kreatif dan fleksible. Guru tidak harus mengunci diri dengan kaedah P&P yang konservatif. Dalam satu kelas yang normal mungkin hanya ada seorang sahaja murid ADHD, ada waktu kita boleh membenarkan murid itu menyiapkan tugasannya sambil dia berdiri atau berjalan-jalan. Lakukan perubahan tingkahlaku ini secara berperingkat. Contohnya bermula dengan membenarkannya bergerak selama 8 minit ke 5 minit dan seterusnya. Asalkan dia tidak mengganggu rakan yang lain, dan boleh menyiapkan kerjanya. Guru juga boleh menggunakan kaedah ICT dalam menarik tumpuannya. Bukan sahaja murid ADHD, murid normal juga mudah tertarik dengan P&P yang menggunakan ICT. Selain itu, guru boleh membaca “big book” dengan berintonasi dan beremosi.

Terdapat juga beberapa kaedah yang boleh digunapakai oleh ibubapa di rumah, dan juga guru-guru untuk dipraktikkan di sekolah. Kaedah pertama, berikan arahan satu persatu dengan jelas, dan pastikan kanak-kanak tersebut bertentangan mata dengan mata kita, supaya mereka dapat memberi perhatian dan memahaminya. Kanak-kanak ADHD mudah hilang tumpuan, dan sering gagal memberikan tumpuan yang teliti kepada butiran-butiran terperinci atau cuai. Kaedah ini dapat mengurangkan kesilapan semasa membuat kerja rumah atau aktiviti-aktiviti lain. Kaedah kedua adalah memberi pujian, sekiranya mereka membuat sesuatu dengan baik, berikan pujian. Cara ini akan menaikkan rasa harga diri dan membantu membina keyakinan dirinya. Semasa memberikan pujian, anda mesti menunjukkan perasaan gembira .Boleh wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan kelakuan yang baik. Carta Bintang adalah salah satu cara yang bagus untuk membantu kanak-kanak ADHD berkelakuan dengan lebih baik.

            Kaedah ketiga ialah kekalkan kebiasaan aktiviti harian supaya kanak-kanak ADHD dapat menjangka apa yang berlaku setiap hari. Pelupa adalah salah satu ciri-ciri kanak-kanak ADHD, kekalkan kebiasaan aktiviti harian dapat membantu mereka melakukannya dengan baik. Teknik seterusnya ialah membantu kanak-kanak ADHD mengatur aktiviti harian mereka dengan menyediakan senarai semak. Mereka boleh menyemak dan memastikan tugasan mereka telah disempurnakan. Sentiasa menggalakkan kanak-kanak ADHD untuk mengawala kata hatinya, umpamanya berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata.

            Berkomunikasi dengan murid ADHD, dan menanya mereka aktiviti kegemaran mereka juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak yang mengalami gangguan ini. Guru-guru dan ibubapa boleh membantu mencungkil bakat yang terpendam, seperti bermain muzik, bersukan dan sebagainya, serta menetukan satu matlamat yang realistik kepada kanak-kanak ADHD. Selain daripada sokongan motivasi, guru-guru dan ibubapa boleh juga memberi sokongan sosial, seperti memberi galakan kepada kanak-kanak ADHD apabila mereka menghadapi masalah, supaya kanak-kanak ini dapat meningkatkan penghargaan kendiri dan membantu murid membentuk kumpulan belajar. Hal ini dapat menggalakkan murid berkongsi idea dan tanggungjawab, di samping membantu hubungan interpersonal dengan pelajar lain. Pembelajaran secara campuran umur juga dapat membantu murid dalam hubungan sosial mereka.

            Guru dan ibubapa kenalah bina semangat dan kelebihan yang ada pada kanak-kanak ADHD, dan jangan asyik menitikberatkan pada kelemahannya sahaja. Bagi memastikan tumpuannya pada P&P guru, tempatkan kedudukan mereka di bahagian hadapan kelas dan mungkin paling dekat dengan guru. Perkara ini bagi memastikan dia terasa seperti guru sentiasa mengawasinya. Kerja-kerja sekolah memerlukan bantuan guru untuk mencatat di dalam buku khas, supaya kanak-kanak ADHD dapat menunjukkan kepada ibubaapanya semasa di rumah nanti.

            Sokongan daripada pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah adalah sangat penting dalam sesebuah sekolah Intergrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran, memandangkan pihak inilah yang paling hampir dengan program pendidikan khas. Masalah pihak pentadbiran yang masih kurang memberi sokongan kepada program PKBP bukan sahaja menjadi masalah beberapa buah sekolah, malah mencakupi beberapa buah sekolah lain di Semenanjung Malaysia. Kurangnya sokongan pihak pentadbiran boleh dilihat dari segi layanan pihak pentadbir terhadap guru dan murid pendidikan khas sebagai golongan kelas kedua. Kurangnya peruntukkan kewangan serta sikap kurang senang pihak pentadbir apabila pendidikan khas mengikuti peperiksaan awam, di mana ia akan menjatuhkan graf peperiksaan awam sekolah.

            Dalam menangani isu ini, perlunya ada program pendedahan Program Pendidikan Khas terutama Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di kalangan semua pihak pentadbir, terutama bagi sekolah-sekolah yang baru membuka program ini, dan juga pihak pentadbir yang baru berkecimpung dalam dunia pendidikan khas, terutamanya Guru Besar atau Pengetua sekolah. Berdasarkan pendedahan itu, persefahaman pengurusan penyelaras pendidikan dan Guru Besar atau Pengetua akan menjdi lebih baik. Dialog di antara guru pendidikan khas, Guru Besar atau Pengetua dengan Pihak Jabatan Pendidikan Khas secara berterusan adalah perlu bagi memantapkan lagi persefahaman tersebut, selain daripada penyampaian maklumat adalah lebih telus dan terkini.

            Aspek pembangunan fizikal sesebuah sekolah untuk keperluan murid pendidikan khas amat dititikberatkan. Sebagai contoh, jika ruang yang diperuntukkan adalah satu baris blok bangunan sekolah di mana setiap satu kelas atau lebih dikenali sebagai stesen menempatkan tiga buah “kelas”, yang setiapnya terdiri daripada 6 hingga 8 orang murid. Bilangan murid dalam satu stesen adalah kurang sesuai dan agak sesak bagi murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran iaitu kanak-kanak ADHD. Murid-murid seperti ini memerlukan satu ruang yang agak luas bagi membantu mereka dari segi perkembangan emosi serta perubahan tingkahlaku mereka. Ruang yang terhad, sedikit sebanyak akan membataskan pergerakkan murid dalam bilik darjah.

            Masalah lain akan timbul ekoran daripada isu ruang terhad ialah gangguan pembelajaran dari kelas atau kumpulan lain dalam bilik darjah yang sama. Tumpuan kanak-kanak ADHD mudah dialih, maka tidak kira kumpulan lain terdapat guru yang mengajar ataupun tidak, penumpuan kanak-kanak ADHD akan sentiasa dialih ke kumpulan lain juga. Dengan adanya alat bantu mengajar yang sesuai serta yang boleh mengembangkan kemahiran murid juga boleh menjadi faktor jangka masa panjang atau pendek penerimaan murid tersebut terhadap peembelajaran. Antara alat bantu mengajar yang biasanya digunanya di barat atau pihak-pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

            Kemahiran serta pengetahuan guru pendidikan khas bermasalah pembelajaran sepatutnya adalah bersifat “up to date” terhadap bidang mereka. Maka guru tersebut haruslah sentiiasa mencari maklumat demi meningkatkan kemahiran diri. Lawatan ke luar negara adalah lebih bermakna, kerana dapat menambahkan pengalaman secara langung, ia adalah lebih praktiikal berbanding hanya mendapat bayangan daripada pihak lain. Snagai seorang guru pendidikan khas bermasalah pembelajaran, selain daripada sabar dengan karenah murid ADHD, guru tersebut juga perlu berinsiatif dan lebih kreatif untuk menjadikan satu-satu proses P&P itu berkesan dan memberi makna kepada murid. Sokongan bersepadu daripada pihak sekolah memberi kesan motivasi kerja guru.

            Berbanding dengan ibubapa yang bergantung 100% kepada pihak sekolah dengan sesetengah ibubapa yang prihatin seperti mengajar anak mereka di rumah atau menghantar anak mereka ke NGO setelah pulang dari sekolah, yang bergantung 100% kepada pihak sekolah dalam mendidik anak mereka adalah satu perkara yang melambatkan proses penerimaan pembelajaran. Pihak NGO memiliki kemudahan, infrasturtur serta kemahiran yang lebih canggih dan terbaru, mereka dapat membantu memperkembangkan lagi tahap penerimaan pembelajaran kana-kanak ADHD.

            Penyediaan keperluan pendidikan yang khusus di kalangan murid pendidikan khas adalah merupakan satu cabaran bukan sahaja di pihak Jabatan Pendidikan Khas, malah melibatkan semua pihak yang memikul amanah menyediakan pendidikan untuk murid-murid ini. Komitmen serta kerjasama daripada semua pihak dalam membantu dari segi perancangan serta program-program Jabatan Pendidikan Khas merupakan perkara utama dalam memastikan ianya berjaya. Ini kerana mendidik murid ADHD bukan mudah, kerana mereka memerlukan set persekitaran yang konduksif, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi nilai-nilai kemanusiaan. Usaha sama daripada semua pihak yang berkenaan, tentunya akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat terhadap pendidikan ini dan setanding dengan di luar negara..





Bibliografi

Fitzgerald, M. (2004) Autism And Creativity: in there a link between autism in men and
expectionaal ability?. Brunner- Routledge: Taylor & Francis Group Hove and New
York.

Hanbury. M. (2005) Educationg Pupil withAutism Specktrum Disorder: A Practical Guide.
London: Paul Chapman Publishing.











Ives, M. & Munro, N. (2002) Caring For A Child With Autism: A Practical Guide For
Parents. London and Philadelphia: Jessica Kingsley Publishers,  Published with the
National Austistic Society.

Philips. N. Et al. (2007) Teaching Play to Children with Autism Practical Interventions
during Interplay. London: Paul Chapman Publishing.

Plotnik. R. (2001) Introduction to Psycology. 6th edition. US: Wadsworth Thomson
Learning

Scott. J., Clark. C. Brady. M. (2000) Students with Autism: Characteristics and Instruction
Programming for Special Educators. San Diego California: Singular Publishing
Group.

Seach. D. Et al. (2003) Supporting Children with Autism in Mainstream School.
Birmingham: The Questions Publishing Company.






[1] Inatesi – kekurangan tumpuan perhatian
[2] Impulsif – mengikut dorongan hati
[3] Hiperaktif – berlaku terlalu aktif

No comments:

Post a Comment